Tite Kurang Dapat Kecaman, Sambung Kontrak

Jurulatih Brazil, Tite menerima tawaran kontrak empat setengah tahun untuk mengendalikan pasukan itu bagi menghadapi misi Piala Dunia 2022 di Qatar, menurut jurucakap Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF), awal pagi tadi.

Walaupun Brazil gagal melepasi peringkat suku akhir Piala Dunia di Russia selepas tewas kepada Belgium, CBF masih berminat mengekalkan Tite yang dianggap popular dan berkemahiran tinggi.

“CBF membuat pelaburan jangka panjang membabitkan aspek teknikal dan kami yakin dengan perancangan teliti akan meletakkan kembali bola sepak Brazil ke tempat sepatutnya” kata Pengarah Eksekutif CBF, Rogerio Caboclo.

Tite mengambil alih jawatan jurulatih Selecao pada 2016 daripada Dunga ketika pasukan itu dibelenggu kemerosotan prestasi pada pusingan kelayakan ke Piala Dunia Russia.

Bekas pengurus Corinthians itu tidak menunggu lama untuk mengubah nasib pasukan dengan mencapai rekod sembilan kemenangan berturut-turut sekali gus muncul pasukan pertama layak ke Russia.

Bagaimanapun, Brazil kurang menyerlah di peringkat kumpulan walaupun dianggap antara pasukan pilihan. Seri aksi pertama dan menang dua perlawanan berikutnya dalam aksi hambar.

Mereka menewaskan Mexico dalam peringkat 16 terakhir tetapi kalah di tangan Belgium 2-1 dalam perlawanan yang dianggap antara yang paling menarik di kejohanan itu.

Tite pula bernasib baik apabila kurang mendapat kecaman sebaliknya ramai yang mahukan dia kekal dengan tugasnya – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.