Leonardo Kini Kembali Terajui Ac Milan

AC Milan mengumumkan pelantikan bekas juara Piala Dunia dari Brazil, Leonardo sebagai pengarah sukan baru kelab itu hari ini.

Leonardo, 48 dua kali menjadi pemain di San Siro sebelum menjadi ketua jurulatih Milan pada musim 2009-2010 namun gagal mencetus impak.

“Kisah Leonardo di AC Milan begitu unik, pernah menyumbang kepada kejayaan kelab sebagai pemain, jurulatih dan pengarah” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Dia akan menyumbang pengalamannya terhadap pasukan dalam usaha membentuk kelab ini sebagai antara pasukan yang hebat di peringkat antarabangsa”

Kepulangan Leonardo adalah susulan pengambilalihan kelab gergasi Serie A itu oleh syarikat dana lindung nilai Amerika Syarikat Elliot selepas pemilik sebelumnya dari China gagal melangsaikan kembali hutang.

Elliot Management berjanji untuk menyuntik 50 juta euro (RM237 juta) untuk menstabilkan kewangan juara Eropah tujuh kali itu.

“Pelantikan Leonardo adalah satu lagi tanda komitmen Elliot untuk membawa pemimpin berpengalaman dan bertaraf dunia, yang tahu apa yang diperlukan untuk mengembalikan AC Milan ke zaman kegemilangannya” kata pengerusi Milan Paolo Scaroni.

Scaroni menambah Leonardo “akan bertanggungjawab menguruskan aspek sukan kelab itu, termasuk pasaran perpindahan”, yang dijangka mencetuskan ketidaktentuan terhadap fungsi jurulatih Gennaro Gattuso dalam aspek pembelian pemain”

Jumaat lalu, Mahkamah Timbangtara Sukan Antarabangsa membatalkan penggantungan AC Milan di Eropah kerana melanggar peraturan fair play UEFA dan menganggap hukuman itu tidak wajar.

“Beliau akan mendapat segala sokongan kewangan yang diperlukan untuk mengukuhkan dan membentuk pasukan dalam kerangka Financial Fair Play UEFA” kata Scaroni mengenai Leonardo, yang juga pengarah sukan di Paris Saint-Germain dari 2011-2013 – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.