Sane Berazam Tidak Terus Merana

Leroy Sane berterima kasih kepada pengendali Manchester City Pep Guardiola kerana membantunya mengatasi kekecewaan tidak dapat beraksi di Piala Dunia.

Penyerang City itu yang menjadi tonggak skuad juara Liga Perdana Inggeris dikendali Guardiola musim lalu, dikejutkan oleh pengendali Jerman Joachim Low yang menggugurkannya daripada skuad Piala Dunia ke Russia.

Keputusan Low ternyata memakan diri apabila skuad juara bertahan itu gagal melepasi peringkat kumpulan, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa pemain yang menjaringkan 10 gol dan melakukan 15 umpanan gol untuk dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik itu digugurkan.

Namun dengan kelayakan Euro 2020 semakin dekat, Sane, yang enggan mengulas berkenaan skandal perkauman berkaitan Mesut Ozil yang mencemari bola sepak Jerman, percaya dia akan berpeluang menebus karier antarabangsanya di bawah bimbingan Guardiola.

“Iya, Pep ada bercakap dengan saya selepas ia berlaku” kata Sane ketika ditanya tentang penggugurannya daripada skuad Jerman. “Kami bercakap tentang banyak perkara dan bagaimana keadaan saya ketika itu, dan kini kami hanya memandang ke hadapan”

“Saya kecewa tetapi selepas itu saya hanya mahu pandang ke hadapan. Saya tidak sabar untuk memulakan musim baharu. Ia memberikan anda dorongan. Bermain di Piala Dunia adalah satu impian”

“Ketika menonton Piala Dunia, saya rasa seperti ingin berada di sana. Tetapi saya baru 22 tahun dan masih ada masa untuk mempersiapkan diri” 

“Memang kecewa ketika itu amat sukar untuk minggu pertama, tetapi ia menguatkan azam saya untuk kembali lebih mantap. Agak mengejutkan kerana saya sangka musim yang saya harungi sudah cukup baik”

Sane bagaimanapun turut berkongsi kesedihan rakan senegaranya yang gagal dalam kempen mempertahankan kejuaraan di Russia.

“Saya turut merasai kekecewaan mereka kerana mereka adalah kawan saya dan saya pernah bermain dengan sebahagian daripada mereka sebelum ini” katanya – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.