Mourinho Mahu Pogba Fokus Untuk MU

Jose Mourinho percaya, pengalaman yang dilalui Paul Pogba dalam kempen Piala Dunia membantunya menjadi pemain lebih bagus dan mahu bintang Perancis itu mengekalkan kecemerlangan apabila mengharungi saingan Liga Perdana bersama Manchester United.

Pemain berusia 25 tahun itu berpindah ke United dari Juventus dengan yuran perpindahan yang mencatat rekod dunia pada 2016 namun persembahannya yang tidak konsisten mengundang kekecewaan buat peminat kelab.

Dia kerap dikritik musim lalu namun mempamerkan aksi lebih baik di Russia dengan menjadi enjin bahagian tengah Perancis bersama N’Golo Kante dan menjaringkan gol pada final untuk merangkul gelaran dunia buat kali kedua.

“Saya tak fikir ia adalah tugas kami untuk membantunya memberikan aksi terbaik sebaliknya semuanya bergantung kepada dirinya” kata Mourinho kepada ESPN.

“Mengapa? Kerana hampir sebulan di mana dia hanya fikir mengenai bola sepak. Hanya dia bersama pasukan dalam kem latihan dan mereka diasingkan dengan dunia luar dan fokusnya hanya bola sepak. Motivasinya hanya bola sepak”

“Tapi bila musim bermula, anda akan mengharungi perlawanan besar, perlawanan kecil kemudian anda boleh hilang fokus, anda boleh hilang tumpuan dan selepas itu berdepan perlawanan besar semula”

Mourinho berkata, agak mudah untuk seseorang pemain meningkatkan permainan apabila pasukannya cemerlang di Piala Dunia.

“Dalam saingan Piala Dunia, emosi, tanggungjawab dalam membuat keputusan berat sentiasa ada…. Anda bersaing di peringkat kumpulan, anda mara ke peringkat 16 pasukan terakhir, suku akhir, separuh akhir dan kemudian ke final” tambahnya.

“Ini memberikan motivasi. Ini akan membuatkan pemain lebih fokus. Jadi ia suasana yang bagus untuknya”

“Saya fikir pemain di Piala Dunia, mereka merasakan lebih komitmen untuk negara… jadi mereka main untuk pasukan dan hanya untuk pasukan. Mereka akan berusaha untuk mencapai kejayaan”

“Ia suasana yang bagus buat pemain berbakat sepertinya untuk fokus kepada sesuatu tugas” – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.