Dewan Rakyat kecoh isu samseng

KUALA LUMPUR 18 Julai – Perjalanan persidangan pertama penggal pertama Parlimen Ke-14 kecoh kerana isu ‘samseng’.

Kekecohan berlaku apabila Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menyifatkan beberapa ahli Pemuda UMNO yang didakwa menyerang mendiang Karpal Singh di Dewan Rakyat suatu ketika dulu sebagai samseng.

Ramkarpal berkata demikian ketika mencelah perbahasan mencadangkan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semasa pembukaan penggal pertama Parlimen oleh Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani)

Tindakan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang dengan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangkit meminta supaya Ramkarpal menarik semula perkataan ‘samseng’ yang disifatkan sebagai biadab serta tidak menghormati dewan.

Bukan hanya Shamsul Anuar, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) turut bangkit mengemukakan peraturan mesyuarat 36(4) kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon

Berdasarkan peraturan itu, Ismail yang merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan meminta Mohd. Rashid membuat satu perintah (ruling) supaya Ramkarpal menarik semula perkataan tersebut.

Peraturan 36(4) menjelaskan adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan

(biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.

Mohd. Rashid yang dilihat terpinga-pinga pada awalnya membuat ruling supaya perbahasan Johari diteruskan.

Perkara itu, menyebabkan lebih ramai wakil rakyat pembangkang termasuklah seorang lagi bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) bangkit menekankan kepentingan mengikut peraturan mesyuarat.

Terkesan dengan desakan wakil rakyat pembangkang yang meminta merujuk kepada peraturan mesyuarat, Mohd. Rashid akhirnya akur dan membuat ruling supaya Ramkarpal menarik balik perkataan samseng yang dikeluarkannya.

Ramkarpal bagaimanapun tetap dengan kenyataannya dan enggan menarik semula perkataan yang dikeluarkan itu.

Situasi dewan terus kecoh dengan wakil pembangkang terus membuat desakan menggunakan peraturan mesyuarat dengan wakil rakyat kerajaan mempertahankan Ramkarpal.

Suasana tersebut menyebabkan Mohd. Rashid yang kali pertama mengendalikan persidangan Dewan Rakyat seperti hilang arah dan tidak tahu apa sepatutnya perlu dilakukan.

Setakat laporan ini ditulis, situasi Dewan Rakyat masih kecoh dan tiada tanda-tanda akan reda. – UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.