Jumpa Di Euro 2020

Kekalahan pahit Belgium di separuh akhir Piala Dunia mampu merangsang mereka bangkit semula dalam tempoh dua tahun menjelang Kejohanan Euro yang menjadi satu lagi peluang realistik untuk meraih kejuaraan utama.

Generasi emas itu diletakkan harapan tinggi untuk mara ke perlawanan akhir namun langkah mereka tersekat dengan kekalahan kepada negara jiran, Perancis 0-1 di Stadium Saint Petersburg, awal pagi tadi.

Berdasarkan persembahan yang menghiburkan, mereka dijangka kembali sebagai pasukan pilihan di Euro 2020 dengan syarat memberi aksi terbaik pada peringkat kelayakan.

“Bola sepak Belgium mempunyai ramai pemain muda berbakat yang akan menyerlah dan tugas saya selepas ini adalah menjelang Euro 2020” 

“Ia terlalu awal untuk membuat kesimpulan berdasarkan aksi di Russia, sebaliknya kami harus fokus untuk perlawanan terakhir, kembali semula ke St Petersburg dan merebut peluang tempat ketiga” 

“Selepas itu, kami harus berkumpul semula, sama seperti kejohanan lain sebelum ini, kami harus melihat kepada generasi muda dan cuba untuk menjadi lebih kuat dalam kejohanan selepas ini. Ada hala tuju dan cita-cita yang perlu dicapai” kata jurulatih Roberto Martinez, yang menyambung kontrak dua tahun sehingga 2020 seminggu sebelum Piala Dunia bermula.

Belgium akan menentang pasukan Croatia atau England bagi penentuan tempat ketiga, Sabtu ini.

Pemain seperti ketua pasukan, Eden Hazard, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan penjaga gol, Thibaut Courtois masih lagi berusia 28 tahun ke bawah dan tidak sabar untuk diberi peluang sekali lagi.

“Kekecewaan memang dirasai namun kami harus realistik. Kami beraksi dengan baik, malah ketika menentang Perancis juga kami berjaya mempamerkan aksi cemerlang dan kami harus berbangga walaupun kalah” 

“Memang ada perbezaan antara kami dan Perancis. Bagaimanapun, dari satu sudut ada perkara positif” kata De Bruyne.

Aksi terbaik Belgium di peringkat antarabangsa ialah muncul naib juara pada Euro 1980 dan dua kali mara ke separuh akhir Piala Dunia dengan kali pertama pada 1986 – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.