Bukan Mudah Ke Separuh Akhir – Lovren

Pertahanan Croatia, Dejan Lovren percaya pasukannya yang kepenatan sedia memanfaatkan peluang sekali seumur hidup apabila berdepan England dalam aksi separuh akhir Piala Dunia, awal pagi esok.

Ia kali pertama sejak 1998, Croatia mencapai hingga ke tahap ini, selepas menyingkirkan Russia menerusi penentuan penalti, minggu lalu.

Bagaimanapun, wujud kebimbangan faktor kepenatan akan menjadi penghalang, selepas skuad Zlatko Dalic itu perlu menempuh permainan selama 120 minit dan penalti ketika berdepan Russia dan Denmark pada dua pusingan terakhir.

Lovren begitupun menafikan andaian berkenaan dengan berkata“Saya amat bersedia serta begitu cergas dan rakan sepasukan yang lain pun sama”

“Kami tahu apa yang diperlukan dan dalam keadaan sebegini anda pastinya terlupa segala kepenatan yang dirasai,” kata pertahanan berusia 29 tahun itu

“Ini mungkin peluang sekali seumur hidup. Ia mungkin mampu diulangi dan mungkin juga tidak”

Croatia tewas kepada tuan rumah Perancis pada aksi separuh akhir 20 tahun lalu yang mana adalah Piala Dunia kali pertama mereka sebagai negara merdeka, dengan menumpaskan Belanda dalam penentuan tempat ketiga.

Dalic mengakui faktor ingin mengatasi pencapaian generasi emas 1998 Croatia itu turut menjadi pendorong utama yang membawa mereka kini hingga ke separuh akhir.

“Kita tidak perlu terkejut bahawa Croatia berada dalam kelompok empat terakhir Piala Dunia dengan kualiti yang dimiliki pemain” kata Dalic.

“Generasi ini sudah dipandang sepi untuk satu tempoh yang lama tetapi mereka menunjukkan kualiti apabila diperlukan dan mereka akan diangkat sebagai generasi yang hampir menyamai skuad ‘gangsa Vatreni’ 1998.

“Saya tidak boleh membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya Croatia memenangi Piala Dunia, saya rasa semua orang tidak akan pergi kerja” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.