Sekolah Tahfiz Lahir Pelajar Akhlak Mulia, Kata PAS

 

KOTA BARU, 10 Julai — Sekolah tahfiz melahirkan pelajar berakhlak mulia bahkan ada dalam kalangan mereka yang berjaya sebagai golongan profesional, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata negara kini berdepan masalah sosial yang semakin meruncing kerana anak-anak tidak mempunyai didikan agama yang mencukupi menyebabkan mereka terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat.

“Masalah besar negara kita adalah isu dadah, isu mat rempit, isu tiada moral… puncanya tak ada didikan agama. Bagi saya mereka (anak-anak) ini perlu diletakkan asas pembinaan jati diri itu daripada peringkat awal.

“Dan Al-Quranul Karim ini, bukan mudah untuk dihafal tapi bila Al-Quran ni ada dalam diri Insya Allah (pengamalnya) tidak akan terlibat dengan jenayah dan perkara-perkara yang merosakkan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kuliah Bulanan Wanita di Balai Islam Lundang di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin kelmarin yang mempertahankan cadangannya yang menuntut semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup kerana mendakwa penyelewengan berlaku di sekolah-sekolah tahfiz susulan beberapa kes seperti penyelewengan, penggunaan pelajar tahfiz untuk menjual buku agama serta mengutip derma dan pelbagai tragedi seperti kebakaran, penderaan serta tekanan.

Tuan Ibrahim berkata sekolah tahfiz adalah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ia berbeza dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang mempunyai sistem pendidikan sendiri.

“Kalau soal nak pertahankan bahasa, PAS menghormati bahasa setiap bangsa dan bahasa mesti diajar supaya mereka (mana-mana kaum) tidak hilang identiti mereka… kita akui (perkara itu).

“Saya fikir kita perlu membina sebuah negara yang dibina atas dasar muafakat dan perpaduan negara melalui pendidikan yang sama dan soal pendidikan agama merupakan teras (kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan) dan tidak bercanggah dengan kedudukan Islam (dalam Perlembagaan Persekutuan),” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.