Kane Mahu Memori ’66’ Terlaksana

Kapten England, Harry Kane cuba mencari inspirasi daripada wira kejayaan Piala Dunia 1966 dalam usaha membantu pasukannya melakar kegemilangan di Russia.

Penyerang Tottenham itu menjadi penjaring terbanyak kejohanan setakat ini apabila meledak enam gol, meletakkannya sebaris dengan rekod Gary Lineker pada 1986 menjelang aksi separuh akhir menentang Croatia, Rabu ini.

Kane menjadi pemain ketiga negaranya meledak hatrik di Piala Dunia ketika menewaskan Panama 6-1 sekali gus menyertai Lineker dan Geoff Hurst, bintang yang menyinar pada aksi final 1966 ketika England menewaskan Jerman Barat.

Hurst percaya skuad kendalian Gareth Southgate boleh menyamai pencapaian terbaik mereka di Russia dan Kane mengakui sokongan daripada barisan legenda England ini sebagai insentif tambahan untuk berjaya.

“Untuk bertemu dengan mana-mana wira ’66’ adalah menakjubkan. Ia memberi begitu banyak inspirasi. Jelas sudah begitu lama sejak England meraih keputusan yang baik di kejohanan utama” kata Kane selepas kemenangan 2-0 ke atas Sweden di peringkat suku akhir.

“Saya teruja untuk memberikan bekas pemain ini kebanggaan dan saya yakin ia mengembalikan memori kepada mereka. Kami berkata kami mahu menulis sejarah kami sendiri dan berharap kami boleh mengharungi satu lagi langkah dan ke final”

England mara ke peringkat empat terbaik Piala Dunia buat pertama kali sejak 1990 apabila mereka tewas kepada Jerman menerusi penentuan penalti selepas aksi sepenuh masa di Turin berakhir 1-1.

“Ramai di antara kami belum lagi lahir apabila ia berlaku” kata Kane, 24 “Kami hanya perlu mencuba dan meneruskannya, kami kini hanya kurang selangkah untuk berada di perlawanan terbesar kami sebagai pemain profesional”

Demam Piala Dunia sedang melanda England ketika ini dengan hampir 20 juta rakyat Britain menyaksikan perlawanan menentang Sweden secara langsung dan ia belum dikira peminat yang menyaksikannya di tempat awam atau restoran.

“Kami amat bangga untuk memberikan peminat kegembiraan kerana ia adalah apa yang kami mahukan dan sudah tetapkan” kata Kane – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.