Syarikat Negara China Kuasai Piala Dunia 2018?

Skandal rasuah yang melanda Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada satu tahap mungkin mengecilkan minat beberapa penaja berpotensi dari negara Barat.

Tetapi kehadiran syarikat-syarikat dari China bagi edisi Piala Dunia di Russia tidak bermakna ia dapat menampung lompong berkenaan, kata Ketua Pegawai Komersial badan induk itu, Philippe Le Floc’h, hari ini.

Pembabitan China di Piala Dunia tahun ini jelas lebih besar berbanding edisi sebelumnya dengan dianggarkan lebih 40,000 peminat dari negara berkenaan berkunjung ke Russia selain puluhan juta tontonan televisyen serta kehadiran iklan di semua gelanggang perlawanan.

Ia adalah disebabkan oleh pembabitan besar syarikat dari negara itu dalam program penajaan FIFA, yang sebelum ini diisi oleh beberapa ‘muka biasa’ syarikat gergasi dari negara Barat atau Jepun.

Le Floc’h berkata ‘mungkin’ pada satu ketika penaja-penaja dari Barat menjauhkan diri berikutan skandal rasuah, tetapi untuk membuat kesimpulan berlaku perubahan ke Timur dalam rangkaian penaja-penaja FIFA adalah tidak tepat.

“Kami tidak pernah bercakap dengan sesiapapun dan berkata, kamu semua adalah toksik. Kami tidak mahu bekerjasama dengan kamu” katanya kepada Reuters di sini.

“Ia hanya disebabkan keadaan ekonomi yang tidak begitu baik. Ia pelaburan yang besar (dan) kamu perlu membuat perubahan, dan beberapa syarikat Asia atau China, sedang mencari vektor komunikasi terbaik untuk memacu mereka ke peringkat antarabangsa dan meletakkan jejak global”

“Ada yang cukup sesuai. Kadang kala kamu perlu mengikuti corak berdasarkan peristiwa yang berlaku untuk bekerja. Jadi kami sangat gembira dengan cara kami”

Pembabitan syarikat dari China boleh dianggap baharu dengan syarikat pembuat panel solar, Yingli Green Energy menjadi penaja Piala Dunia pertama dari negara berkenaan pada 2010.

Syarikat konglomerat hartanah Wanda, yang turut terbabit dengan industri hiburan dan sukan kini menjadi antara tujuh ‘rakan kongsi global’ FIFA dengan komitmen sehingga 2030.

Hisense menjadi salah satu daripada tiga firma dari China yang tersenarai dalam lima penaja Piala Dunia selain pembuat telefon bimbit Vivo dan syarikat tenusu, Mengniu – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.