Hamilton Ragui Taktik Ferrari

Juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton mempersoalkan ‘taktik’ Ferrari semalam selepas pelanggaran pusingan pertama dengan Kimi Raikkonen memusnahkan harapan pemandu Britain itu untuk meraih kemenangan kelima berturut-turut di laman sendiri.

Bos Mercedes, Toto Wolff turut meragui insiden berkenaan, yang membuatkan kereta Hamilton berpusing sebelum dia bangkit meraih tangga kedua podium, sama ada ia disengajakan atau sekadar isyarat kurang daya saing.

Ferrari, pemenang dengan pendahulu kejuaraan Sebastian Vettel, menafikan dakwaan berkenaan dan ia disokong oleh beberapa individu lain.

“Taktik yang menarik, bagi pihak mereka tetapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk mengatasi mereka dan melakukan lebih baik di perlumbaan seterusnya” kata Hamilton selepas perlumbaan.

“Saya boleh katakan sekarang, dua perlumbaan menyaksikan Ferrari sudah menyingkirkan salah satu kereta Mercedes. Saya dan Valtteri (Bottas) kehilangan banyak mata dalam dua keadaan itu”

“Saya tidak dapat melihat di belakang saya tetapi kami perlu berusaha lebih keras untuk meletakkan diri kami dalam kedudukan lebih baik supaya tidak terdedah kepada kereta merah – kerana siapa tahu mungkin ia akan berulang”

Vettel dan Bottas berlanggar di permulaan Grand Prix Perancis bulan lalu, dengan kedua-duanya tercicir ke belakang kelompok pelumba.

Pemandu Ferrari itu, kini lapan mata di hadapan Hamilton, menamatkan perlumbaan berkenaan di tempat kelima manakala Bottas ketujuh dan Hamilton memenanginya.

“Saya rasa kurang bijak untuk mengatakan apa yang berlaku adalah disengajakan, saya pasti bergelut untuk menjadi sebegitu tepat, mengeluarkan seseorang” kata Vettel.

“Di Perancis, saya kehilangan sayap jadi perlumbaan saya tidak menjadi. Saya tidak rasa terdapat sebarang niat dan ia tidak perlu dipersoalkan” – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.