Tindakan Israel Kuatkuasa Undang-Undang Beku Akaun Palestin Dikecam

RAMALLAH – Pegawai kanan Palestin, kelmarin mengecam undang-undang baru Israel yang membekukan pemindahan wang kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai hukuman terhadap bayaran kepada keluarga pejuang yang melancarkan serangan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat, berkata tindakan itu mengancam kewujudan PA yang dilanda krisis kewangan.

Perundangan itu diluluskan sehari sebelumnya dan memberikan kuasa kepada kerajaan Israel menahan sejumlah wang berdasarkan apa yang dibayar kepada banduan dan keluarga mereka oleh PA.

Israel memperoleh kira-kira AS$127 juta (RM513 juta) dalam bentuk levi duti kastam ke atas barangan bagi pasaran Palestin yang singgah di pelabuhan Israel dan kemudian dipindahkan kepada PA.

“Ini adalah keputusan amat bahaya yang membawa kepada pembatalan PA dan adalah satu bentuk rampasan dan kecurian.

“Rejim Zionis mencuri tanah dan wang penduduk Palestin dan ini adalah keputusan Presiden Donald Trump, yang menyokong Israel,” katanya.

Penyokong perundangan baru itu berkata, PA membayar kira-kira AS$330 (RM1.3 bilion) setahun kepada banduan dan keluarga mereka, merangkumi tujuh peratus bajetnya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.