Kaki terkeluar jadi petunjuk

KUALA LUMPUR: Kaki terkeluar membawa kepada penemuan mayat dikerat beberapa bahagian dalam dua bagasi di tebing Sungai Gombak di Jalan Ipoh di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mangsa dipercayai wanita itu ditemui seorang lelaki ketika menyiram pokok dan terlihat kaki terkeluar dari sebuah bagasi terbabit.

Pemeriksaan polis menemui sebuah lagi bagasi kira-kira 50 meter dari tempat bagasi pertama ditemui.

Sebuah bagasi lain turut ditemui di tebing berhampiran lokasi bagasi pertama ditemui tetapi hanya mengandungi pakaian dan disahkan tiada kaitan dengan kes terbabit.

Selepas diperiksa, bagasi pertama didapati mengandungi bahagian tangan, kaki dan kepala mangsa manakala badan mangsa berada dalam bahagian badan.

Pihak bomba turut berada di lokasi bagi membantu polis membawa keluar mayat berkenaan kira-kira jam 2 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai gelandangan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan.

“Belum dapat dipastikan sama ada anggota badan ditemui dalam kedua-dua bagasi berkenaan adalah daripada mangsa sama.

“Malah, identiti dan jantina mangsa juga belum dapat dikenal pasti,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.