Awas! Ada Aplikasi Android Curi Data Pengguna, Kata Pakar Keselamatan

SAN FRANCISCO – Pemilik telefon pintar Android perlu berwaspada dengan aplikasi penjimatan bateri telefon kerana tarikan itu sebenarnya adalah helah untuk mencuri data peribadi anda.

Mail Online melaporkan, pakar keselamatan mendapati bahawa aplikasi Advanced Battery Saver yang boleh dimuat naik di Google Play Store boleh mengakses lokasi, nombor te­lefon dan mesej pemilik telefon.

Memburukkan lagi keadaan, maklumat ini boleh digunakan oleh penggodam untuk mencuri butiran pembayaran anda malah berpotensi untuk mengugut mangsa.

Pakar keselamatan memberi amaran mereka yang memuat turun aplikasi itu supaya membersihkan telefon pintar mereka menggunakan perisian antivirus bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.

Firma keselamatan komputer, RiskIQ yang berpangkalan di San Francisco merupakan pihak pertama yang menyuarakan kebimba­ngan mereka tentang penipuan itu.

Perisian jahat atau malware itu direka bentuk untuk mesej pop-up yang tertera semasa melayari internet yang memberi amaran bahawa pembersihan diperlukan terhadap memori telefon bagi mengelak masalah kadar keupa­yaan bateri berkurangan.

Mesej itu disesuaikan dengan buatan dan model telefon pintar anda bagi melihatkan keaslian kepada amaran penipuan.

Dengan menekan butang pemasangan pada aplikasi pembersihan yang disyorkan oleh pop-up, pengguna akan disambungkan terus kepada Google Play Store untuk memuat turun malware itu.

Menurut RiskIQ, aplikasi itu telah dimuat turun sebanyak 60,000 orang setakat ini.

Mereka yang telah menggunakan aplikasi itu pada telefon mereka perlu memadam aplikasi berkenaan dan menggunakan perisian antivirus pada peranti Android bagi mengelak kesan buruk.

Malware itu dijuga direka untuk menjalankan iklan pada latar belakang peranti anda selain menjadi sumber kewangan kepada penipu menerusi klik pada iklan tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.