Tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Razak

 

KUALA LUMPUR 5 Julai – Kesedaran ramai pihak terhadap dugaan yang sedang ditempuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendorong Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mewujudkan tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Razak.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii berkata, langkah itu diambil selepas menyedari Najib membuat rayuan mencagar rumahnya bagi membayar wang jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi, di sini semalam.

“Semua sedia maklum akaun Najib dan keluarganya telah dibekukan dan semua duit dalam rumah walaupun 10 sen telah dirampas pihak berkuasa, jadi sukar untuk beliau hendak membayar jaminan tersebut hingga Isnin ini.

“Jadi kami semua ahli UMNO dan rakyat Malaysia ingin menyumbang kepada Najib supaya beliau tidak terbeban sangat nak membayar baki (wang jaminan) RM500,000,” katanya selepas menziarahi bekas Presiden UMNO itu di kediamannya di Langgak Duta, di sini hari ini.

Jelas Razlan, tabung tersebut akan dibuka sehingga pukul 12 tengah hari Isnin ini sebelum diserahkan kepada anak Najib di mahkamah.

Katanya, matlamat utama tabung itu adalah mengumpul wang sebanyak RM500,000 sahaja dan ditutup serta-merta apabila jumlah itu berjaya dicapai dalam tempoh tersebut.

“Saya percaya, ramai yang menelefon saya ingin membantu malah ada yang masukkan wang RM1, RM2 dalam akaun dan menghantar gambar resitnya kepada saya. Alhamdulillah, ahli UMNO dan ramai rakyat yang ingin membantu Najib,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung tersebut boleh menyalurkan derma masing-masing ke dalam akaun CIMB Kelab Belia Berkhidmat 8601952060. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.