Najib Dianiaya? Tun Mahathir Tak Mahu Komen

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya beliau telah dianiaya.

“Lebih baik bertanya kepada beliau (Najib). Saya tidak tahu…,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Semalam, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada pukul 2.35 petang.

Dalam sebuah video berdurasi 2 minit 22 saat di laman Facebooknya, antaranya bekas perdana menteri itu menyatakan bahawa beliau “belum berpeluang untuk mempertahankan diri” dan “terdedah kepada tohmahan yang dahsyat”.

Hari ini, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Dr Mahathir menyeru semua penjawat awam agar bersikap telus dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memulihkan dan membangunkan negara ini.

Beliau yakin semua 1.6 juta penjawat awam di negara ini sayang kepada negara dan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik supaya Malaysia sentiasa aman dan memberi nikmat kepada rakyat.

“Saya yakin kita semua sedar dan selalu bersyukur serta menghargai keadaan dalam negara kita dan yakin menjalankan tugas dan perkhidmatan untuk mentadbir negara kita akan berjaya

“Semua ini memerlukan sikap telus daripada kita dan bekerja dengan baik supaya khidmat kita akan mewujudkan negara lebih maju,” katanya.

Dr Mahathir turut mengajak rakyat Malaysia supaya bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan aman ketika banyak negara Islam lain menghadapi rusuhan dan peperangan yang mengakibatkan ramai meninggal dunia, cedera dan kebuluran.

“Satu juta manusia tidak dapat makan kerana peperangan dan empat juta terpaksa lari meninggalkan negara mereka akibat peperangan,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia juga perlu bersyukur pertukaran kerajaan selepas Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas berjalan dengan aman dan selamat tanpa banyak masalah.

Beliau berkata di negara-negara lain, lazimnya pertukaran kerajaan kerap disusuli dengan rusuhan sehingga ada yang terbunuh dan negara menghadapi masalah kerana pihak yang kalah tidak akan mudah menerima kekalahan.

“Tetapi di Malaysia kita dapati mereka yang kalah mengaku sudah kalah dan memberi ruang kepada yang baru mengambil alih. Dengan itu peralihan kerajaan berlaku dengan selamat dan aman,” katanya.

Beliau yang hadir selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, turut berseloroh hampir terlupa mengenai majlis tersebut berikutan menteri-menteri yang baharu dilantik membangkitkan banyak perkara dalam mesyuarat tersebut.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.