Dele Alli Sedia Pikul Tugas Berat

Dele Alli bersedia untuk mengambil sepakan penalti sekiranya England diheret ke penentuan sepakan penalti menentang Colombia pada pusingan 16 terakhir, awal pagi Rabu ini.

England tewas enam daripada tujuh sepakan penentuan penalti pada kejohanan besar yang menyaksikan jurulatih mereka, Gareth Southgate turut gagal menyempurnakan penalti menentang Jerman pada Euro 1996.

Pemain mereka sudah menjalani latihan sepakan penalti sejak Mac lalu termasuk membuat analisis video dan ujian psikometrik untuk mengelak daripada ‘badi’ sama berulang.

Alli mengakui dia bersedia untuk mengambil tanggungjawab itu.

“Kami yakin dan kini mahu mengubah rekod ini” katanya pada sesi latihan England di Repino.

“Semua pemain bersedia untuk mengambil sepakan penalti dan membantu pasukan jika boleh. Jika saya berada di tengah padang, saya mahu mengambil sepakan penalti.

“Saya akan bertanya kepada jurulatih dan cuba menyempurnakannya”

Alli dijangka kembali dalam kesebelasan utama bertemu Colombia selepas mengalami kekejangan otot paha pada aksi pembukaan bertemu Tunisia sekali gus diketepikan ketika menentang Panama dan Belgium.

Dia akan berdepan pemain yang tidak asing baginya iaitu rakan sepasukan di Tottenham, Davinson Sanchez yang beraksi sebagai pertahanan dengan fokusnya adalah untuk menyekat Harry Kane.

“Sudah tentu saya mahu Harry memenangi pertembungan ini. Davinson pemain hebat. Sukar untuk tidak menyatakan sokongan kepadanya namun sebagai pemain, tiada persahabatan di tengah padang”

“Dia pemain yang hebat namun tiada pemain yang sempurna. Kami tahu cara dia bermain, apa kekuatannya dan kami akan cuba mengeksploitasi beberapa kelemahannya” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.