Ronaldo kian ‘ghairah’ buru gol

MOSCOW 19 Jun – Cristiano Ronaldo bakal memburu aksi lebih gemilang apabila Portugal turun menentang Maghribi pada aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018 esok selepas muncul wira pada aksi pertama menentang Sepanyol 16 Jun lalu.

Jaringan hatriknya ketika seri 3-3 dengan Sepanyol tempoh hari seperti memberi amaran akan ada gegaran lebih besar mampu dilakukan Ronaldo untuk membantu juara Eropah itu menyinar dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Sebagai rekod, hatrik yang dilakukan Ronaldo itu adalah yang ke-51 dalam kariernya dan yang ke-51 juga dalam sejarah Piala Dunia untuk muncul pemain keempat menciptanya dalam empat Piala Dunia.

“Saya gembira kerana dapat mencipta rekod peribadi yang menarik ini. Satu lagi rekod untuk dimiliki. Pada saya apa yang lebih penting di sini ialah untuk melihat apa pasukan kami mampu buat ketika menentang antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia kali ini,” kata pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu.

Bintang kelab Real Madrid ini bagaimanapun tidak mahu terlalu yakin kerana hanya kemenangan ke atas Maghribi mampu memberi jawapan kepada peluang sebenar Portugal untuk mara ke peringkat seterusnya.

Menang bermakna peluang Portugal cerah untuk melepasi peringkat kumpulan dan mara selaku salah satu pasukan pilihan yang mampu muncul juara dunia di Rusia.

“Saya rasa kami lebih kuat berbanding Maghribi jika mahu membandingkan kedua-dua pasukan. Tapi saya tidak bermaksud kami akan mendapat laluan mudah. Kami tidak boleh memandang mudah mereka sebaliknya kena menghormati mana-mana lawan kami.

Mana-mana perlawanan dalam Piala Dunia adalah sukar,” kata seorang lagi penyerang Portugal, Andre Silva tentang aksi kedua peringkat kumpulan itu.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan kedua buat kedua-dua pasukan di Piala Dunia. Pertemuan pertama ialah pada 1986 di Mexico di mana Maghribi berjaya menewaskan Portugal 1-3 dalam aksi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun penampilan Maghribi pada Piala Dunia kali ini menerima tamparan awal apabila mereka tewas mengejut 0-1 kepada Iran pada aksi pertama Kumpulan B pada 15 Jun lalu, hasil gol sendiri pemainnya, Aziz Bouhaddouz dalam masa kecederaan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.