Azmin persembah nama MB baharu kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM 18 Jun – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mempersembahkan satu nama yang akan menggantikan beliau sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin tidak mendedahkan sama ada yang akan menggantikannya adalah daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri atau tidak.

Menurut Mohamed Azmin, pihaknya telah berbincang dengan pucuk kepimpinan PKR bagi memutuskan siapa yang akan dipilih untuk memegang jawatan tersebut.

“Saya telah mendapat pengesahan nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor. Nama terbabit akan diketahui esok dan hanya satu nama sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Istana Bukit Kayangan di sini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menjelaskan bahawa pertemuan hari ini bersama Sultan Selangor bukan yang terakhir.

“Ini bukan pertemuan terakhir dan saya akan datang semula esok untuk bertemu Sultan Selangor semula,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.