Johari Abdul Tidak Tahu Menahu Tular Surat PKR Namakannya Sebagai MB Kedah

ALOR SETAR – Sepucuk surat daripada Ibu pejabat PKR yang ditujukan kepada Setiausaha Sulit Sultan Kedah bagi dipersembahkan kepada Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, tular dalam laman sosial ekoran isi kandungannya yang menyatakan parti itu bersetuju menamakan Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul sebagai Menteri Besar.

Surat tersebut yang bertarikh 11 Mei 2018 iaitu dua hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung, ditandatangani oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dengan memaparkan tajuk ‘Menamakan Menteri Besar Bagi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Penggal Ke-14’, surat itu menunjukkan yang Dr. Wan Azizah memohon perkenan ba­ginda untuk menerima menghadap Johari bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Sementara itu Johari ketika dihubungi memaklumkan, beliau tidak mengetahui siapa yang bertanggungjawab menularkan surat berkenaan.

“Saya tak tahu tentang surat itu kerana ia dihantar terus ke istana, bukan melalui saya. Saya tak tahu siapa yang tularkan tetapi ada dua kemungkinanlah sama ada orang istana atau orang ibu pejabat.

“Kalau tengok surat itu, te­ngok tarikhnya yang dibuat sebelum pelantikan Menteri Besar, betullah surat itu. Saya pun memang dipanggil ke istana untuk menghadap tuanku sebelum ini tetapi tidak berbuat demikian kerana baginda memilih Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya motif penyebaran surat tersebut, Johari berkata, beliau memang tidak tahu.

“Mungkin orang baru jumpa surat itu, sebab itu baru ditularkan sekarang. Tak ada apa pun, benda dah pun berlaku dan apabila baginda berkenan melantik Mukhriz, kita akur dengan titah.

“Kalau ada yang berhajat mahu melaga-lagakan saya dan Mukhriz dengan penyebaran surat ini, itu tak akan berlaku. Nak berlaga macam mana kerana perkara ini merupakan hak Sultan. Tak ada kesan apa pun,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.