‘Sudah-sudahlah politik, sekarang masa untuk bekerja’

‘DARI lubuk hati paling dalam, saya yakin kesemua lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan bersama-sama saya membentuk satu pasukan yang kuat untuk bangunkan negeri ini’

Keyakinan itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dalam sidang akhbar sejurus selepas majlis angkat sumpah pelantikan barisan Exco negeri ini di Istana Arau, hari ini.

Kenyataan tersebut memberi gambaran jelas bahawa kesemua Exco itu akan terus bersama Menteri Besar sekali gus desas- desus kononnya mereka akan membuat undi tidak percaya kepada Azlan selepas ini adalah meleset sama sekali.

Menguatkan lagi kebersamaan itu, apabila beberapa wakil rakyat BN yang ditemui selepas majlis perlantikan Exco itu memaklumkan bahawa segala masalah yang berlaku selama ini sudah selesai dan sudah tiba masanya untuk mereka mula bekerja selain menyatakan sokongan penuh kepada Azlan sebagai Menteri Besar.

Sebelum ini, Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin tetap berkeras akan membawa isu pelantikan Azlan ke mahkamah dengan alasan pelantikan ADUN Bintong itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis iaitu di bawah Fasal 39(6) yang menyatakan Menteri Besar harus meletakkan jawatan jika tidak mendapat sokongan.

Perkembangan tersebut dlihat cukup positif. Sudah-sudahlah berpolitik, sekarang masa untuk bekerja dalam meneruskan agenda membangunkan negeri ini.

Bagi wakil rakyat tersebut, mereka membuat pendirian yang tepat untuk bersama Menteri Besar dengan tidak lagi mengikut telunjuk sesetengah pihak sehingga akhirnya telah mencetuskan kemelut yang cukup memalukan.

Malah terdapat dalam kalangan wakil rakyat tersebut memberi jaminan tidak akan mengulangi lagi kesilapan sama dan teguran Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail semasa bertitah pada majlis berkenaan akan dijadikan panduan untuk mereka selepas ini.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.