Lima Nama Besar Pemain Bola ‘Hilang’ Dari Radar Piala Dunia 2018

PEMILIHAN skuad yang beraksi dalam Piala Dunia Rusia penuh dengan kejutan selepas beberapa bintang ternama ‘hilang’ daripada senarai akibat diketepikan.

#1 MAURO ICARDI (Argentina)

Mauro Icardi adalah penjaring terbanyak dalam salah sebuah liga utama Eropah, Serie A selepas mengharungi kempen cemerlang bersama Inter Milan dan membantu kelab itu meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pemain sebagusnya, sepatutnya dijamin tempat dalam skuad Piala Dunia tetapi nasib berbeza menimpa penyerang berusia 25 tahun itu apabila diketepikan daripada skuad Argentina.

Bersama Inter, Icardi mempamer prestasi mengagumkan apabila meledak 29 gol dalam liga utama Itali musim ini, sekali gus berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama bintang Lazio, Ciro Immobile.

Satu-satunya alasan logik buat pengurus Argentina, Jorge Sampaoli menyingkirkan Icardi adalah kerana skuad La Albiceleste memiliki terlalu ramai penyerang kelas dunia seperti Lionel Messi (Barcelona), Paulo Dybala (Juventus), Gonzalo Higuain (Juventus) dan Sergio Aguero (Manchester City).

#2 KARIM BENZEMA (Perancis)


Persengketaan antara Karim Benzema dengan pengurus Perancis, Didier Deschamps menyebabkan bintang Real Madrid itu tidak mendapat tempat dalam skuad Les Bleus.

Hubungan tegang itu bermula selepas penyerang berusia 30 tahun tersebut terbabit dengan kes peras ugut pita rakaman seks rakan sepasukan dalam skuad Perancis, Mathieu Valbuena.

Sejak skandal itu tersebar, Deschamps tidak lagi menggunakan khidmat Benzema mahupun Valbuena bagi mengelak isu integriti dan moral. Bagaimanapun, yang paling terjejas ialah Benzema berbanding Valbuena.

Dia diketepikan daripada skuad Euro 2016 sewaktu Perancis bergelar tuan rumah, dan tidak menjadi sebahagian tonggak dalam kelayakan Piala Dunia serta aksi persahabatan sejak beberapa tahun lalu.

Layanan keterlaluan diterima penyerang keturunan Perancis-Algeria itu membangkitkan dakwaan bahawa Deschamps bersikap perkauman. Benzema jelas beraksi baik bersama Real apabila membantu kelabnya merangkul kejuaraan Eropah buat kali ke-13, bulan lalu.

#3 RADJA NAINGGOLAN (Belgium)

DISIFATKAN ramai pemerhati bola sepak sebagai pemain tengah yang sempurna kerana kemahirannya, Radja Nainggolan bagaimanapun gagal memikat jurulatih Belgium, Roberto Martinez untuk dibawa ke Rusia.

Nainggolan, 30, memiliki skil pemerhatian tajam dan hantaran berkualiti, yang membolehkannya mengawal permainan dari bahagian tengah padang.

Begitupun, dia sering diketepikan daripada kejohanan besar yang disertai Belgium, termasuk dipinggir jurulatih lama, Marc Wilmots dalam Euro 2016, selain Piala Dunia 2014 dan kelayakan Piala Dunia 2018.

Antara sebab mengapa Nainggolan tidak dipilih Martinez adalah kerana tabiat merokoknya, biarpun jurulatih itu cuba memberi alasan berbeza apabila menyifatkan kapten AS Roma tersebut tidak sesuai dengan sistem permainan yang diterapkan.

#4 ALVARO MORATA (Sepanyol)

Dalam kes Alvaro Morata, punca dia diketepikan daripada skuad Sepanyol dapat diterima akal.

Kalau tahun lalu ada yang meramalkan pengurus Sepanyol, Julen Lopetegui akan terlepas pandang Morata pada Piala Dunia mungkin tiada siapa akan percaya.

Namun, perubahan berlaku dengan pantas dalam bola sepak, yang mana senario yang dianggap mustahil sebelum ini mampu menjadi realiti.

Pada musim 2016/17, Morata beraksi cemerlang apabila kembali ke pangkuan kelab zaman kanak-kanaknya, Real Madrid dengan meledak 20 gol dan melakukan 43 gerakan dalam 43 penampilan, selain membantu skuad Los Blancos menjulang Liga Juara-Juara dan gelaran La Liga.

Begitupun selepas berpindah ke Chelsea, Morata gagal menyerlah. Isu kecederaan menyebabkan dia kerap diketepikan, sekali gus menjejaskan kedudukannya dalam skuad Sepanyol yang kini diambil alih Diego Costa.

#5 LEROY SANE (Jerman)

KEPUTUSAN Joachim Loew mengetepikan bintang muda Manchester City, Leroy Sane daripada skuad Jerman dikritik banyak pihak, namun pemain pertahanan, Mats Hummels mempertahankan jurulatih itu.

Hummels turut mengkritik tingkah laku pemain-pemain muda Jerman dan dalam masa sama, menasihati Sane agar tidak mengharapkan dia menerima layanan serupa Thomas Muller dan Mesut Ozil.

Sane, 22, menikmati prestasi gemilang dalam kariernya yang baru hendak berkembang apabila meledak 10 gol dan menyempurnakan 15 gerakan bagi membantu City menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Prestasi baiknya mendapat pengiktirafan apabila Sane dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), namun aksinya bersama Jerman tidak meyakinkan Low. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.