5,000 penyokong serbu latihan Brazil

SOCHI, Rusia 12 Jun – Aura juara dunia lima kali, Brazil menarik ribuan penyokong, termasuk seorang peminat muda yang berjaya menceroboh ke dalam padang untuk berswafoto ketika pasukan itu menjalani latihan pertamanya di Rusia hari ini menjelang Piala Dunia 2018.

Lebih 5,000 peminat tempatan menonton sesi latihan santai yang diadakan di Stadium Yug-Sport, berdekatan dengan hotel penginapan pasukan Brazil di Black Sea, Sochi.

Hari ini adalah cuti umum di Rusia, dan peluang tersebut digunakan sepenuhnya oleh peminat bola sepak untuk melihat pasukan kegemaran mereka menjalani latihan sebelum Piala Dunia memulakan kempen, Khamis ini.

Seorang peminat muda berjaya melepasi kawalan keselamatan dan menghampiri sekumpulan pemain Brazil, termasuk Neymar untuk bergambar sebelum berlari keluar.

Bagaimanapun kebanyakan penyokong lebih gemar me­nyanyi dan melaungkan nama Neymar yang tiba di Rusia bersama rakan-rakan sepasukannya semalam, beberapa jam selepas mengalahkan Austria 3-0 dalam aksi persahabatan di Vienna.

Pemain skuad Selecao juga meraikan ulang tahun ke-26 bintang tengah Barcelona, Philippe Coutinho di depan ribuan penyokong apabila melumur tepung dan telur ke atas kepala pemain itu.

Brazil akan memulakan kempen Kumpulan E dengan menentang Switzerland di Rostov-on-Don, Ahad ini sebelum bertemu Costa Rica dan Serbia.

Sejurus tamat latihan, Neymar memberitahu pemberita dalam sidang akhbar, Brazil mengimpikan untuk merangkul kejuaraan keenam selepas menang pada 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002.

“Anda kena percaya kepada impian anda.

“Kami boleh bercakap tentang memenangi Piala Dunia kerana kami adalah Brazil. Memasang impian bukan satu kesalahan, jadi kami akan mengimpikan kejuaraan,” kata Neymar. – AGENSI / Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.