“Tukar Cara, Bukan Teras”

 

KEPALA BATAS: Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, akan bertanding mengekalkan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan parti akan datang.

 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan suara kepemimpinan tertinggi parti dapat didengari dan dibawa ke peringkat Parlimen.

 

“Melihat kepada suasana, terutamanya apabila saya terpilih mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas ini, saya fikir adalah wajar untuk saya mempertahankan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

 

“Saya tidak mahu bertanding jawatan lain kerana proses pencalonan itu tidak boleh terlalu ramai.

 

“Kalau ramai yang bawa formula sendiri, akhirnya UMNO akan jadi cacamerba,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Parlimen Kepala Batas di Masjid Permatang Rambai di sini, hari ini.

 

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM200 kepada 200 golongan asnaf di Parlimen Kepala Batas.

 

Sementara itu, Reezal yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri berkata, UMNO perlu mengekalkan konsep sebagai parti Melayu yang membela bangsa dan agama Islam.

 

Katanya, UMNO hanya perlu mengubah pendekatan kepada rakyat bagi memastikan ia terus relevan pada masa depan.

 

“UMNO wajar kekal sebagai parti Melayu. Saya mengandaikan, jika kita mengubah konsep, ia akan beri kesan kepada pengundi Melayu.

 

“Jangan tukar teras, tapi hanya tukar cara kita,” katanya.

 

Mei lalu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membayangkan supaya kepemimpinan parti mempertimbangkan untuk membuka keahlian kepada bukan Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.