Tubuh Majlis Penasihat Presiden UMNO – Exco Pemuda

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jun – UMNO perlu menubuhan satu Majlis Penasihat Presiden yang dianggotai veteran parti termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi memberikan pandangan dan nasihat kepada pemimpin utama dalam menentukan hala tuju parti keramat Melayu tersebut.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ini bagi membuka jalan kepada Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengisi kekosongan jawatan nombor satu parti itu.

“Lebih baik ada satu pelan cadangan wujudkan Majlis Penasihat Presiden UMNO yang dianggotai Tengku Razaleigh, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan beberapa senior parti bertindak sebagai penasihat presiden.

“Buat masa ini kita berikan sokongan kepada Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO untuk mengadakan rundingan dan memastikan parti agar tidak terus retak dan berpecah. Jika ini berlaku, saya yakin UMNO akan terus kukuh dengan wujudnya majlis tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sedia mempertimbangkan permintaan akar umbi supaya beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti kali ini.

Katanya, beliau menghargai sokongan dan pandangan peringkat akar umbi di seluruh negara yang mahukannya mengambil alih pimpinan parti namun perlu berfikir masak-masak dan memerlukan sedikit masa menilai perkara itu dari pelbagai sudut.

Sementara itu, mengulas lanjut Armand Azha berkata, buat masa ini Ahmad Zahid dan Ku Li mendapat sokongan dan dokongan di peringkat akar umbi bagi mengisi kerusi Presiden UMNO.

“Kedua-dua mereka amat penting dalam UMNO bagi proses pengukuhan parti. Ahmad Zahid mempunyai kekuatan akar umbi manakala Ku Li mempunyai kekuatan daripada segi pengalaman dalam UMNO.

“Ini dua perkara yang amat penting bagi UMNO untuk bangkit daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Dikala ini UMNO tidak boleh kehilangan salah seorang daripada mereka demi memastikan kekuatan parti disemua peringkat baik dalam mahupun luar,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.