Pinjam Semangat Reformasi, Rakan Rapat Ziarah Rosmah

 

Meminjam semangat gerakan Reformasi, rakan rapat Datin Seri Rosmah Mansor mengetuai kunjungan bagi memberi sokongan kepada isteri bekas perdana menteri itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur semalam.

Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah, yang merupakan kenalan rapat Rosmah sejak 11 tahun lalu, menyifatkan tekanan dilalui Rosmah dan suaminya Datuk Seri Najib Razak ketika ini tidak jauh berbeza dengan yang dilalui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya masih ingat perkara pertama yang Datin Seri Rosmah memberi reaksi pada saya ketika saya hubunginya berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau dengan tenang berkata untuk apa dia takut kerana dia tidak salah.

“Jadi beliau sekeluarga memerlukan sokongan ramai kerana berdepan situasi sekarang ini. Sokongan ini akan berterusan, dan saya akan bawa lebih ramai agar Najib dan Rosmah lebih bersemangat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Aminah yang juga merupakan bekas Wanita PKR itu hadir bersama kira-kira 50 hadirin yang terdiri daripada anggota NGO, anggota Umno dan beberapa artis tanah air.

Susulan itu, Rosmah dikatakan sebak sehingga menitiskan air mata apabila menerima kata-kata semangat sambil dipeluk penyokongnya.

Menurut laporan itu, pertemuan itu turut disertai Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM Selasa lalu bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd.

Sementara suaminya, Najib bulan lalu hadir di SPRM bagi memberi keterangan siasatan kes yang sama.

Bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Jan 2016 mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), yang ditubuhkan selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-14, membuka semula siasatan kes berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.