Pakatan Harapan Ada Krisis Pilih Calon Menteri?

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jun – Selepas sebulan memerintah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat seperti belum bersedia menamakan individu yang sesuai untuk dilantik menjadi Menteri Luar, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Menteri Kerja Raya dan Menteri Belia dan Sukan.

Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, keadaan sedemikian amat menghairankan kerana kerajaan mengambil masa yang sebegitu lama seolah-olah berlaku krisis pemilihan calon di antara parti-parti komponennya.

“Rakyat juga masih tidak jelas mengenai dasar luar negara. Apatah lagi ia adalah antara perkara paling awal perlu diumumkan oleh mana-mana kerajaan di dunia apabila membentuk sesebuah Kabinet.

“Kini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah pun ke Jepun tanpa ada kelibat Menteri Luar,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah unit itu lagi, dasar luar amat penting bagi negara seperti Malaysia kerana Malaysia menjadi anggota dalam banyak kesatuan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), ASEAN, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksort Petroleum (OPEC) dan sebagainya.

“Menapa PH dilihat agak liat untuk berbuat demikian? Apakah wujud pergelutan kuasa dalam kalangan komponennya atau tidak ada calon layak dan berpengalaman untuk menerajui kementerian terbabit?

“Sejak memerintah, kerajaan Tun Dr. Mahathir bagaikan terlalu asyik dengan ‘dendam politiknya’ terhadap Datuk Seri Najib Razak, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hutang luar yang diputarbelitkan serta janji manifesto yang terpaksa dipinggirkan kerana seolah-olah keadaan tidak mengizinkan,” katanya.

Terdahulu, PH berhadapan dengan kontroversi apabila isu perlantikan Peguam Negara dilihat agak berkecamuk walaupun Tun Dr. Mahathir sudah membuat keputusan menamakan Tommy Thomas bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

Selain itu, ada juga cubaan anggota pentadbiran PH seperti memperlekehkan Perlembagaan negara serta Majlis Raja-Raja Melayu yang mempunyai hak di dalam perkara tersebut dan keadaan ini menyebabkan PH seolah-olah sudah mula terjebak dengan perangkapnya sendiri.

“Kerajaan sekarang dilihat dianggotai ahli hipokrit dan pemutar belit fakta. Mereka mempunyai ‘rating agency’ sendiri dan bersikap ‘bodoh sombong’ dengan keengganan mengiktiraf angka rasmi yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan sebagainya.

“Hari ini, Tun Dr. Mahathir ke Jepun untuk menghadiri Persidangan Nikkei ke-24 di samping memikul tugasnya sebagai ‘jurujual’ demi menarik lebih ramai pelabur Jepun ke Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataan itu lagi, unit tersebut turut menyatakan ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, sudah ada cakap-cakap mengenai ‘Malaysia dijual kepada Jepun’ kerana banyaknya projek mega yang membabitkan firma dan dana negara berkenaan.

“Bezanya, luahan sebegitu tidak dapat dirasai kerana tidak wujudnya Internet dan kekangan ISA yang digunakan sehalus mungkin terhadap para pengkritiknya.

“ Jika beliau pernah menuduh Kerajaan BN menjual negara kepada China, apa bezanya dengan usaha beliau untik menarik pelaburan Jepun? Dalam sejarah, pernahkah China menakluk Tanah Melayu?” soal unit itu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.