Kaji Semula Hukuman Terhadap Pesalah Rasuah – Datuk Akhbar Satar

 

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula hukuman terhadap pesalah rasuah bagi mengekang gejala itu daripada terus berleluasa.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata pihak melakukan kesalahan rasuah wajar dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran, termasuk penalti lebih tinggi.

Beliau mendakwa, peruntukan hukuman sedia ada tidak cukup berat, malah penalti dikenakan juga kurang memberi kesan terhadap pesalah rasuah.

“Hukuman membabitkan kes rasuah perlu dikaji semula. Kesalahan membabitkan rasuah wajar dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

“Jumlah penalti lebih tinggi juga akan dapat menghalang perbuatan rasuah daripada terus berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akhbar berkata, walaupun sudah ada pindaan dan penambahbaikan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akta itu perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi memastikannya menjadi undang-undang antirasuah yang digeruni.

“Selepas 50 tahun, kita harus belajar daripada pengalaman dan perlu ada kajian menyeluruh untuk menghasilkan undang-undang antirasuah lebih ampuh.

“Penalti lebih berat amat diperlukan memandangkan negara kita berhadapan ancaman rasuah yang tinggi,” katanya.

Ketika ini, katanya, Akta SPRM memperuntukkan penalti am bagi kesalahan berkaitan rasuah ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, beliau berkata, sekiranya pesalah menerima suapan berjumlah RM5,000, dia akan dipenjarakan dan didenda RM25,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.