Elizabeth Tan Sedar Perlu Fasih Berbahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Bersandarkan formula judul ‘catchy’ dengan karya ciptaan komposer ‘rebutan’, Hael Husaini dan Ezra Kong, mampukah Elizabeth Tan kembali menawan carta dengan single baharunya, Police Entry?

Begitulah persoalan bermain dalam fikiran penyanyi Knock Knock itu yang berharap tuah menyebelahinya kali ini.

Akui Elizabeth, selepas setahun memperlahankan rentak nyanyian demi memberi tumpuan kepada bidang lakonan, dia sangat teruja menghadiahkan single terbaharu kepada peminat.

“Ini pertama kali saya menggunakan khidmat Hael dan Ezra. Lagu Police Entry akan dilancarkan Julai depan”

“Ketika ini, persiapan sedang dibuat untuk melakukan penggambaran klip video yang akan saya arahkan sendiri,” katanya kepada BH Online.

Elizabeth berkata, dia bercadang merakamkan tiga single Melayu, tahun ini.

“Selepas Police Entry, saya akan melancarkan single kedua, Oktober depan. Ini disusuli single ketiga pada akhir tahun atau awal tahun depan” katanya.

Tambah Elizabeth, dia mula fokus dengan apa yang mahu dilakukan sebagai artis.

“Sekarang bukan masa untuk main-main lagi. Selama empat tahun dalam dunia seni, saya banyak belajar dan kutip pengalaman”

“Saya fikir, kerjaya seni bagai baru bermula di mana saya lebih lebih tahu apa yang hendak dibuat. Sebelum ini, saya menurut saja” katanya.

Memberi contoh, selepas bernaung di bawah Warner Music, banyak projek dan perancangan dapat dilakukan berbanding ketika berdikari tanpa syarikat rakaman dan pengurusan.

“Dulu saya hendak buat banyak benda, tapi sukar melakukannya sendirian” katanya yang yakin dengan strategi disusun Warner Music.

Mengulas mengenai penguasaan Bahasa Melayu, Elizabeth mengaku dia sudah semakin fasih.

“Baik bidang lakonan dan nyanyian, saya perlu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik. Ada yang memuji dan ia menjadi pembakar semangat” katanya.

Mengaku sukar menunjukkan tahap kefasihan tinggi ketika berlakon dalam karya Melayu, Elizabeth memberitahu, selama ini, dia perlu banyak menghafal dan memadankan intonasi setiap kali berdialog.

“Saya perlu sebut dengan betul untuk mencetuskan emosi diingini dalam watak… Diakui, ia bukan sesuatu yang semulajadi buat saya,” katanya yang berharap dapat berlakon dalam naskhah Bahasa Inggeris yang lebih mudah dikuasainya – BeritaHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.