Abramovich Tidak Rela Lepaskan The Blues

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich menolak tawaran lelaki terkaya Britain untuk membeli kelab berkenaan, lapor media Britain.

Akhbar Daily Mail melaporkan yang Jim Ratcliffe, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan petrokimia Ineos meluahkan hasrat untuk membeli kelab yang dimiliki jutawan Russia itu selama 15 tahun.

Masa depan Chelsea menjadi tidak menentu sejak Abramovich berdepan kesulitan untuk mendapatkan visa United Kingdom (UK) yang menyebabkannya terlepas aksi final Piala FA menentang Manchester United, bulan lalu.

Penangguhan pembaharuan visa pelaburan UK yang dikaitkan dengan hubungan dingin UK-Russia membawanya memohon kerakyatan Israel yang sudah diluluskan bulan lalu.

Pemegang pasport Israel boleh memasuki Britain tanpa visa untuk kunjungan tempoh singkat tetapi mereka memerlukan visa jika bekerja di sana.

Spekulasi membabitkan komitmen Abramovich dengan Chelsea meningkat apabila kelab berkenaan mengumumkan penangguhan pelaburan bernilai 1 bilion pound (RM5.35 bilion) bagi pembangunan semula Stamford Bridge.

Di sebalik ketidaktentuan berkenaan, Daily Mail melaporkan Abramovich masih komited dengan Chelsea yang dinilai sekitar 1 bilion pound (RM5.35 bilion) dan sudah pun menolak bidaan Ratcliffe serta beberapa lagi tawaran.

Ratcliffe, 65 yang dilaporkan salah seorang pemegang tiket bermusim Chelsea pada bulan lalu menduduki tangga teratas lelaki terkaya di Britain dengan kekayaan peribadinya berjumlah 21.05 bilion pound (RM112.60 bilion) manakala Abramovich memiliki 9.3 bilion pound (RM49.75 bilion).

Tahun lalu, Ineos membeli kelab Switzerland, FC Lausanne-Sport.

Ratcliffe yang membesar di Manchester tidak pernah dikaitkan untuk membeli mana-mana kelab bola sepak sebelum ini.

Jurucakap kepada Ineos berkata mereka tidak ambil pusing dengan khabar angin membabitkan pembelian Chelsea dan enggan memberi komen atas laporan Daily Mail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.