Bayaran Khas Aidilfitri tidak dimasukkan dalam Bajet 2018

PUTRAJAYA 9 Jun – Kementerian Kewangan menegaskan, peruntukan bagi Bayaran Khas Aidilfitri RM400 untuk penjawat awam tidak dimasukkan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Kementerian dalam satu kenyataan memberitahu, perkara itu telah disahkan oleh Pejabat Akauntan Negara.

“Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bilangan 5 Tahun 2017 yang berkaitan perkara tersebut telah dibatalkan dan diganti dengan SPANM Bilangan 1 Tahun 2018.

“Akauntan Negara, Datuk Saat Esa juga mengesahkan bahawa peruntukan untuk Bayaran Khas Aidilfitri seperti yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri dalam Bajet 2018 pada 27 Oktober 2017 perlu diluluskan dalam sidang Parlimen pada Julai 2018 ini sebagai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2018,” katanya di sini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa penjawat awam di Gred 41 dan ke bawah diluluskan permohonan Bayaran Khas Aidilfitri RM400 manakala RM200 diluluskan untuk pesara.

Oleh sebab itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memohon peruntukan tambahan bagi membiayai keperluan perbelanjaan di atas dalam sidang Parlimen yang akan datang.

Namun begitu, terdapat pihak berpendapat bahawa peruntukan permohonan tambahan telah disediakan dalam Bajet 2018 kerana Najib telah mengumumkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam dalam Ucapan Bajet 2018 tahun lalu pada 27 Oktober 2017.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata, sehubungan itu, kenyataan Guan Eng baru-baru ini bahawa peruntukan tambahan atau Rang Undang-undang Akta Perbekalan Tambahan untuk bayaran khas Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara masih perlu diluluskan dalam sidang Parlimen Julai ini adalah tepat sekali.

“Ini adalah kerana walaupun Bayaran Khas Aidilfitri 2018 dinyatakan dalam ucapan Bajet 2018, ia semata-matanya satu pengumuman sahaja kerana ia tidak disediakan peruntukan dalam Bajet 2018,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.