Tok Pa Tak Nak Bertanding Jawatan Tertinggi Umno

 

 

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan beliau tidak akan menjadi calon bagi jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan agung Umno nanti.

Sebaliknya beliau sedang mempertimbangkan untuk mempertahankan jawatan sebagai ahli majlis tertinggi (MT) sahaja.

Anggota parlimen Jeli yang mesra disapa sebagai Tok Pa itu juga mengakui dirinya tidak mempunyai kekuatan sama ada untuk menjadi calon presiden, timbalan dan naib presiden.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi semangat supaya bertanding dalam Umno dan saya sudah berbincang serta maklumkan bahawa saya tidak ada kemampuan fizikal, kewangan, stamina dan semangat untuk bertanding jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

“Saya sedang pertimbang kemungkinan akan bertanding bagi jawatan MT, tapi belum lagi mendaftar sebagai calon,” katanya pada sidang media pada program Makan Colek Bersamo Tok Pa anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Kota Bharu, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan sesetengah penyokong supaya bertanding jawatan tertinggi parti itu.

Bekas menteri BN itu berkata, apa yang penting pemilihan kepimpinan tertinggi Umno kali ini adalah bagi penstrukturan semula demi kelangsungan hayat perjuangan parti.

Mustapa berkata, Umno perlu bangkit sebagai parti yang lebih kuat selepas pemilihan itu nanti dan ia bergantung kepada individu-individu yang diberi amanah sebagai pimpinan baru.

“Yang penting parti perlu lebih kukuh, kita tak mahu Umno lemah selepas diadakan pemilihan. Selepas pemilihan kalau Umno lemah maka tamatlah riwayat kita.

“Ini satu peristiwa sangat penting, yang signifikan dalam konteks pemulihan Umno, dan Umno perlu dipulihkan semangatnya, kekuatannya,” jelasnya.

Tambah beliau, jika mereka yang di pilih di peringkat pimpinan tertinggi dan MT adalah individu-individu yang ketokohan atau kewibawaannya dipertikaikan, sudah tentu akan menjejaskan usaha untuk memulihkan Umno.

“Walhal kita mengadakan pemilihan adalah untuk mengukuhkan parti, penstrukturan semula dan memastikan Umno bangkit semula sebagai sebuah parti yang gagah,” katanya.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.