Russia Sudah Sedia Persiapan Piala Dunia 2018

 

Russia “100 peratus bersedia” untuk menjadi hos Piala Dunia, kata Presiden FIFA, Gianni Infantino semalam ketika beliau melahirkan kebimbangan mengenai perkauman, hak asasi manusia dan keselamatan di negara tuan rumah seminggu sebelum kejohanan bermula.

Russia menganjurkan kejohanan itu dari 14 Jun hingga 15 Julai depan di 12 stadium di seluruh negara termasuk Moscow, St Petersburg dan Sochi jadi Infantino percaya penyokong akan mendapat pengalaman paling menarik.

“Saya fikir kita boleh katakan Russia sudah bersedia 100 peratus dan seluruh dunia akan menyaksikannya apabila kita memulakannya pada 14 Jun ini dengan Russia menentang Arab Saudi di Stadium Luzhniki” kata Infantino dalam satu temu bual video.

“Setiap orang akan menyaksikan betapa cantiknya stadium mereka, bagaimana penganjuran dan persiapan berjalan seperti yang diharapkan. Ia pasti satu pengalaman hebat”

Russia berdepan kecaman menjelang kejohanan itu mengenai beberapa isu termasuk keselamatan penyokong dan pasukan selain perkauman pada perlawanan.

FIFA mendenda Russia 30,000 Swiss francs (RM120,000) bulan lalu kerana nyanyian berbentuk diskriminasi perkauman dilaungkan penyokong terhadap pemain Perancis pada satu perlawanan persahabatan di St Petersburg, Mac lalu.

“Saya amat mengambil berat mengenai diskriminasi, hak asasi manusia dan keselamatan dan kami memandang serius masalah ini serta mengambil tindakan sepatutnya” katanya.

“Buat kali pertama kami memeriksa tapak pembinaan stadium untuk memastikan keadaan pekerja baik… perkembangan konkrit sudah dilakukan dari segi hak asasi manusia dan cara kami menangani permasalahan hak asasi”

Infantino menjanjikan “suasana selamat” buat penyokong yang berkunjung ke kejohanan itu – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.