Brazil Perlu Pasukan Yang Tepat – Pele

 

 

Brazil mungkin sudah menang Piala Dunia lima kali dan antara pilihan untuk menjadikannya enam di Russia tahun ini namun pasukan dari Amerika Selatan itu belum mempunyai adunan tepat bagi meraih kejayaan, kata pemenang Piala Dunia tiga kali Pele, semalam.

Brazil kalah sekali dalam 20 perlawanan sejak jurulatih Tite mengambil alih hampir dua tahun lalu namun beliau terpaksa merombak pasukannya beberapa kali dalam perlawanan persahabatan akhir-akhir ini kerana kecederaan.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap keupayaan Tite” kata Pele. “Saya hanya bimbang satu perkara; hanya ada beberapa hari sebelum Piala Dunia bermula dan kami masih belum mempunyai pasukan yang tepat. Secara individu semua pemain amat bagus. Tapi kami tidak bagus secara sepasukan”

Bintang serangan Neymar cedera kaki dan buku lali Februari lalu manakala pertahanan kanan Dani Alves diketepikan daripada skuad kerana kecederaan lutut. Renato Augusto dan Douglas Costa mengalami kekejangan yang menyebabkan mereka tidak beraksi ketika menang 2-0 ke atas Croatia, Ahad lalu.

Neymar kembali beraksi selepas rehat pada perlawanan itu untuk mengemudi kemenangan Brazil dan Pele, satu-satunya pemain yang menang Piala Dunia tiga kali berkata, penyerang Paris St Germain itu mampu mencetus inspirasi kejayaan Brazil di Russia.

“Bagi saya Neymar seorang daripada pemain terbaik di dunia” kata Pele. “Hari  ini dia lebih matang dan berpengalaman tapi dia tidak akan memenangi Piala Dunia secara berseorangan. Hanya pasukan yang akan memenangi Piala Dunia”

“Pasukan terhebat Brazil sepanjang zaman adalah pada 1970, dengan Tostao, Rivelino, Gerson dan Pele semuanya menyarung jersi nombor 10 buat kelab mereka. Pada Piala Dunia 1970 kami menghabiskan lebih enam bulan bersama. Itulah sebabnya ia menjadi”

Brazil bermain hanya tiga perlawanan persahabatan tahun ini dan berdepan aksi pemanas badan terakhir Ahad ini menentang Austria di Vienna.

Mereka memulakan kempen Piala Dunia menentang Switzerland pada 17 Jun ini, sebelum berdepan Costa Rica dan Serbia dalam Kumpulan E – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.