Tujuh Keluarga Miskin Diusir Dari PPR 10 Hari Menjelang Aidilfitri

 

 

Tujuh keluarga dari unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak, Pulau Pinang bakal menyambut Syawal sebagai gelandangan pada tahun ini selepas gagal mendapat simpati kerajaan negeri membenarkan mereka mendiami unit kediaman berkenaan.

Alasan diberi kerajaan negeri menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvan adalah kesemua mangsa adalah warga asing, mempunyai sewa tertunggak dan terdapat permohonan penyewa lain yang lebih memerlukan.

“Ketiga-tiga alasan langsung tidak boleh pakai dan bukan benar sama sekali,” kata Arul dipetik halaman Facebooknya.

“Kerajaan Negeri cuba memutarbelit cerita seolah-olah yang diusir adalah warga asing untuk dapat simpati warga tempatan padahal sebenarnya, mereka adalah pemohon pemastautin tetap yang telah berkahwin dengan orang tempatan yang telah duduk disana untuk sekian lama.”

Tambahnya, benar terdapat sewa tertunggak namun ianya berikutan keluarga-keluarga ini terdiri daripada golongan miskin tegar.

Tegasnya lagi, kerajaan negeri sepatutnya membina lebih banyak rumah PPR dan bukannya, “mengusir satu keluarga miskin dan diganti dengan satu lagi keluarga miskin”.

Untuk rekod, sepanjang 10 tahun pemerintahan DAP di Pulau Pinang, tiada satu pun projek perumahan kos rendah dibina kerajaan negeri dan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membina Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ditangguhkan.

Arul mengimbas kekejaman kerajaan Pulau Pinang di PPR Padang Tembak hampir sama dengan insiden Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghalau penduduk Kampung Chubadak, Kuala Lumpur pada 1996 sewaktu era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Ujarnya, insiden lebih 20 tahun lalu juga dibulan Ramadhan itu berulang semula dibawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang bersikap angkuh dan tanpa budi bicara dan rasa kemanusiaan telah menjadikan penduduk PPR sebagai gelandangan.

Kata Arul, beliau sejak Disember 2017 berusaha menghubungi Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo bagi mendapatkan temujanji berdialog bersama penduduk setempat, namun gagal.

“Apakah dosa mereka yang diusir? Saya hanya boleh memikirkan dosa mereka hanyalah kerana mereka miskin, tiada pengaruh dan tiada kuasa,” ujarnya.

Dengan kuasa kini sudah mempengaruhi pemimpin PH, dan negeri kaya seperti Pulau Pinang sendiri tidak mampu menyelesaikan masalah perumahan serta membantu rakyat miskin, Arul bertanya, “apakah nasib mereka di tempat lain?”. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.