Setiap Rakyat Harus Dilayan Adil – Agong

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jun – Cadangan pelantikan Tommy Tho­­­mas sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mengundang pelbagai kontroversi apabila didakwa tidak sensitif terhadap umat Islam di negara ini.

Walau bagaimanapun, kontroversi itu selesai apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, memperkenan cadangan pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara.

Berikut merupakan kenya­taan penuh Istana Negara yang dihantar kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhubung pelantikan Peguam Negara:

 

KENYATAAN MEDIA IS­TANA NEGARA

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Perseku­tuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan bumiputera serta melindungi agama Islam.

Setelah mengambil kira pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja tentang (i) pelantikan Peguam Negara, (ii) hak bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku telah mengampuni perkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga menitahkan bahawa mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri, memperkenan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru semua rakyat untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama kerana semua rakyat harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama. Pelantikan ini tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

 

DATUK WAN AHMAD DAHLAN ABDUL AZIZ

Datuk Pengelola Bijaya Diraja,

Istana Negara

4 Jun 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.