‘Saya Akan Perbaik Bahasa Melayu Saya’ – Tommy Thomas

 

 

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tommy Thomas mengakui beliau sedang cuba memperbaik Bahasa Melayunya selepas diberi tanggungjawab memegang jawatan penting itu.

Jelasnya, selama ini beliau kurang menggunakan Bahasa Kebangsaan itu atas faktor tuntutan tugas yang banyak menggunakan bahasa Inggeris.

“Saya perlu memperbaik semula keupayaan Bahasa Melayu. Cuma selama 42 tahun berkhidmat dalam khidmat guaman persendirian, kebanyakan anak guam dan dokumen yang perlu saya teliti bersifat komersial.

“Saya rasa saya telah mengabaikan bahasa, jadi saya perlu gilap semula,” katanya semasa ditemui media di pejabatnya di sini.

Thomas dalam pada itu menegaskan beliau akan menumpukan kepada tiga perkara utama terutama siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang memulakan tugas di pejabatnya di Putrajaya hari ini juga akan melakukan tanggungjawab memansuhkan Akta Berita Antiberita Tidak Benar dan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan yang sebelum ini diluluskan secara tergesa-gesa.

“Kita perlu secara bebas mengkaji semula pelaksanaan kontrak antarabangsa yang dibuat pentadbiran terdahulu yang didapati bercanggah dengan kepentingan Malaysia,” tambahnya.

Thomas juga sedia menerima kritikan daripada mana-mana pihak sepanjang memegang jawatan berkenaan.

“Kalau kamu menghargai kebebasan bersuara, jadi kamu kena amalkan. Kebebasan bersuara bermakna semua orang boleh kritik kita.

“Saya sangat gembira kerana ramai kritik saya dan ini membuktikan kita ada kebebasan bersuara. Saya rela dengar kritikan berbanding pujian atau perkara baik sahaja,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.