Gunung Berapi Meletus, Mayat Berdebu Ditemui

 

Letusan kedua di kampung San Miguel Los Lotes menghalang usaha menyelamat mangsa dilakukan selepas petugas bencana menarik mayat daripada limpahan berwarna coklat yang menelan kampung El Rodeo.

Kepantasan dan keganasan letusan itu mengejutkan penduduk setempat dengan ramai terkorban di dalam atau sekitar rumah mereka.

Memetik sumber berkata, penduduk di selatan cerun gunung dikatakan paling teruk terjejas dengan mangsa yang maut termasuk kanak-kanak.

Angka korban dilaporkan terus meningkat kepada 69 orang selepas kampung mereka dilanda aliran campuran abu dan gas serta lumpur panas yang bergerak menuruni gunung berapi susulan letusan terbaru pagi kelmarin.

“Kami sedang menghadiri parti menyambut kelahiran bayi apabila jiran tiba-tiba menjerit supaya keluar melihat lahar yang mengalir deras.

“Kami tidak mempercayainya lalu keluar untuk melihat, namun ketika itu lumpur panas mula memenuhi jalan,” kata penduduk di situ, Hilda Lopez ketika menceritakan saat cemas susulan letusan gunung berapi Fuego di Guatemala, Ahad lalu.

Sementara itu, pengarah institut seismologi dan gunung berapi, Eddy Sanchez berkata, suhu aliran yang turun daripada letusan gunung berapi itu mencecah kira-kira 700 celcius.

Beberapa imej ditunjukkan Sacatepequez televisyen menunjukkan kerosakan teruk akibat bencana itu termasuk keadaan sekitar yang rentung, selain tiga mayat terbaring diliputi debu.

Setiausaha Agung agensi pengurusan bencana Guatemala (CONRED), Sergio Cabanas berkata, antara yang maut empat orang termasuk pegawai agensi bencana yang terbunuh selepas lahar mengakibatkan sebuah rumah terbakar di El Rodeo, manakala dua kanak-kanak rentung ketika melihat letusan kedua dari jambatan.

Manakala seorang mangsa yang ditemui di atas jalan di El Rodeo oleh bomba sukarela meninggal dunia di dalam ambulans.

Bagaimanapun, menurut pakar, letusan akan berakhir selepas 16 jam aktiviti gunung berapi, namun ia boleh kembali aktif.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.