Temubual Siti Kasim tak dibatalkan, jawab Bernama

KUALA LUMPUR: Bernama News Channel (BNC) menjelaskan pihaknya tidak membatalkan program temu bual dengan peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim, yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Batal temubual Siti Kasim, Bernama diminta beri penjelasan

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin malam, BNC berkata, saluran berita itu akan berhubung dengan Siti tentang tarikh baharu temu bual berkenaan.

“Sebagai saluran berita bertanggungjawab, BNC tidak pernah menolak atau membatalkan sebarang temu bual dengan mana-mana individu yang mempunyai kepercayaan dan latar belakang berbeza.

“BNC percaya, dalam membantu kerajaan membina negara bangsa, setiap segmen masyarakat perlu diberi peluang menyuarakan aspirasi mereka melalui saluran berita 24 jam itu, yang wujud sejak 2008,” katanya.

BNC juga melahirkan kekesalannya kerana keputusan untuk menjadualkan semula temu bual berkenaan menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton, khususnya Siti sendiri.

“Kami ingin memberi jaminan kepadanya saluran ini akan berhubung dengan beliau tentang tarikh baharu temu bual itu,” kata kenyataan tersebut. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.