Pemilihan UMNO: Johari Ghani bertanding Naib Presiden

KUALA LUMPUR 4 Jun – Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani muncul sebagai seorang lagi calon yang akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO pada 30 Jun ini.

Beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberitahu, UMNO kini sedang berdepan dengan perkembangan arus politik negara era baru di mana corak pemikiran dan kehendak rakyat telahpun berubah menjadi lebih kompleks dan pelbagai.

“Dengan penuh rasa kesyukuran dan tawaduk, saya menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO tahun ini. Sokongan dari perwakilan umno sangat saya hargai,” katanya.

Johari berkata, suara ahli-ahli UMNO dan rakyat juga mengharapkan perubahan sosial dan reformasi politik dan menjadi semakin lantang oleh itu sudah tiba masanya untuk UMNO membaiki kelemahan dan mendengar suara rintihan rakyat serta tidak lagi hiudp dalam kegemilangan masa dahulu.

“Inilah masanya bagi kita merubah cara pendekatan kita kepada Rakyat dan tidak lagi berfikir bahawa Rakyat harus perlu sentiasa merasa terhutang budi kepada UMNO/BN.

“UMNO adalah sebuah parti nasional dan merupakan tunjang kepada parti Barisan Nasional. Maka perlulah juga menjadi sebuah parti tarikan kepada golongan muda serta bersedia untuk menjadi suara dan aspirasi mereka. Inilah di antara cabaran-cabaran dan isu-isu yang perlu UMNO hadapi di masa yang mendatang ini.

“Saya percaya bahawa asas UMNO yang kukuh dan juga daya-tahannya selama ini dalam menghadapi apa jua cabaran dan krisis menjadikan UMNO sebuah parti yang masih lagi dihormati oleh pihak lawan.

“Sebagai sebuah Parti Pembangkang yang baru, UMNO harus terus menjadi saluran bagi suara rakyat untuk memperjuangkan hak-hak Rakyat di dalam menghadapi arus pembangunan ekonomi dan negara,” katanya.

Johari berkata, beliau telah menjadi ahli UMNO sejak dari tahun 1988 dan memegang jawatan Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa selama 8 tahun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan juga Wakil Rakyat selama lima tahun selain menjawat jawatan Menteri Kewangan II bagi tempoh 21 bulan dan terlibat di dalam dunia korporat selama lebih 25 tahun.

“Saya mempunyai pengalaman berurusan dan berdampingan dengan rakyat dari berbilang latarbelakang, pemikiran dan pandangan politik yang berbeza-beza. Sehubungan dengan ini, saya bersedia untuk terus menyumbangkan masa, tenaga, buah fikiran dan pengalaman saya untuk sama-sama membantu memperkasakan UMNO semula, InsyaAllah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.