Kerajaan PH Arah BERNAMA Beri Sebab Batal Temu Bual Dengan Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengarahkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberikan sebab berhubung pembatalan temuramah dengan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim.

“BERNAMA perlu mengeluarkan satu kenyataan dengan segera memberikan penjelasan berkenaan dengan perkara ini dengan alasan-alasan kenapa temubual itu dibatalkan,” ujarnya ringkas melalui status yang dimuatnaik di laman Twitternya sebentar tadi.

Siti yang lebih dikenali dengan panggilan Siti Kasim sebelum ini dijemput untuk menghadiri satu program temu bual yang bakal disiarkan secara langsung di Saluran Berita Bernama (BNC) esok.

Namun kakitangan di agensi berita itu melaporkan telah membantah kehadiran Siti Kasim kerana didakwa membawa fahaman songsang yang bertentangan dengan Islam.

Ekoran bantahan tersebut, temu bual itu dikatakan akan di batalkan atas alasan tidak mendapat kelulusan pihak pengurusan.

Kakitangan tersebut kemudiannya memuatnaik status di laman Facebook bagi memaklumkan mengenai pembatalan program tersebut.

Bagaimanapun status itu kemudiannya dipadamkan tidak lama kemudian sambil menyifatkan ia merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili agensi berita Bernama.

Terdahulu Siti Kasim dilaporkan berang dengan pembatalan tersebut sambil mendakwa ada individu cuba menghalang hak kebebasan bersuara.

“Saya fikir individu atau beberapa individu cukup tinggi dalam rantaian arahan sama ada di Bernama atau di Kementerian Penerangan – kebebasan editorial dihalang.

“Nampaknya ada beberapa perkara di Malaysia baru tidak pernah berubah,” katanya pula. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.