Amirudin Shari Antara Calon Utama MB Selangor, Kata Sumber

 

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari adalah antara tiga calon yang disenarai pendek untuk menggantikan naib presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor.

Amirudin, 38 adalah anggota jawatankuasa pusat PKR dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor,

Azmin yang mengosongkan jawatan menteri besar bagi dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi, dijadual mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok berhubung penggantinya.

Ketika dihubungi pada petang ini, Amirudin yang merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam Sains Sosial dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengesahkan namanya berada dalam senarai.

“Buat masa ini, apa yang boleh saya sebutkan kepada orang ramai ialah saya salah seorang calon yang dinamakan oleh pemimpin parti,” katanya kepada Malaysiakini.

“Saya rasa keputusan muktamad mesti dibuat oleh sultan. Jadi, saya rasa kita perlu menunggu dengan sabar kira-kira satu atau dua hari sebelum 19 Jun (pada majlis angkat sumpah),” tambahnya.
Dua lagi nama yang disenaraikan ialah Naib Presiden PKR Shaharuddin Baharuddin dan Dr Idris Ahmad.

Shaharuddin adalah ADUN Seri Setia manakala Idris mengekalkan kerusi Ijok pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata beliau yakin pemimpin parti dan sultan Selangor akan membuat keputusan yang tepat mengenai siapa yang harus menerajui pentadbiran negeri.

“Calon itu akan dipilih untuk memastikan Selangor menikmati pembangunan dan kestabilan yang berterusan,” katanya yang mula menyertai politik pada 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.