Peguam Kevin, Mark Vincent Kaplan dalam temuramah dengan Us Weekly berkata, mereka telah memberikan masa yang mencukupi dan peluang untuk menyelesaikan isu perubahan wang sara hidup ini kepada pihak Britney namun mereka masih tidak endah tentang perkara tersebut.

“Kevin telah mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan hal ini secara tertutup namun kini dia terpaksa melakukannya secara umum bagi memaksa Britney untuk bersetuju. Pun begitu, Kevin masih terbuka untuk menyelesaikannya di luar mahkamah,” ujar Mark Vincent.

Bekerja sebagai juru hebah radio, Kevin dilaporkan hanya memiliki pendapatan kira-kira RM11,000 sebulan. Dianggarkan pendapatan bekas suami penyanyi popular tersebut kurang 1% daripada pendapatan tahunan Britney.

Selain itu, alasan yang diberikan oleh Kevin dalam tuntutan terbarunya yang agak tinggi itu adalah kerana dia ‘kurang ternama’ berbanding Britney dan dalam masa yang sama ‘kurang popular’ pada tahun 2008, iaitu ketika kisah perceraian mereka heboh diperkatakan.

Menurut peguam Kevin lagi, pembentangan kes di mahkamah akan menyusul dan tuntutan tersebut tidak akan menyukarkan pihak anak guamnya. Ini kerana jumlah permintaan Kevin itu adalah munasabah bagi keperluan anak-anak mereka yang sedang membesar.

“Ini berdasarkan pendapatan Britney yang telah dilaporkan secara terbuka. Kami juga akan menuntut yuran guaman kerana ia tak seharusnya berlaku seperti ini,” ujarnya lagi.

Britney dan Kevin berkahwin dari 2004 hingga 2007 dan dikurniakan dua anak lelaki, Sean Preston, 12 dan Jayden James, 11. Selain itu, Kevin juga mempunyai empat orang anak hasil perkahwinannya dengan Shar Jackson dan Victoria Prince.

Utusan Online