Selepas Dikritik Ramai, Pertemuan Anwar Pindah Ke Hotel

 

KUALA LUMPUR, 3 Jun ― Pertemuan semua wakil rakyat PKR bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke lokasi baru setelah mendapat kritikan meluas.

Ia asalnya dirancang di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, yang juga presiden parti itu, pada petang Rabu ini tetapi ditukar ke sebuah hotel.

Surat jemputan dua halaman bertarikh 31 Mei yang dikeluarkan pengarah pilihan raya PKR Nurul Izzah Anwar menular di media sosial baru-baru ini.

Susulan itu, ramai pengguna internet termasuk penyokong Pakatan Harapan (PH) mempertikai tindakan parti itu yang menggunakan kemudahan kerajaan.

“Terima kasih atas kebimbangan yang dibangkitkan,” kata Nurul Izzah di Twitter, mengulas pertanyaan seorang pengguna media sosial itu.

Tambahnya, susulan hal berbangkit itu, jawatankuasa pilihan raya PKR menetapkan pertemuan itu diadakan di One World Hotel, Petaling Jaya.

Perjumpaan itu dirancang turut disertai bekas wakil rakyat dan semua penggerak utama jentera pilihan raya PKR dari seluruh negara.

Program mengejut itu juga menjadi tumpuan banyak pihak, termasuk PH, dan membuka spekulasi tujuan sebenar pertemuan Anwar itu.

Ia diadakan setelah tokoh utama PKR itu bertemu beberapa sultan dan pemangku sultan selepas dibebaskan dari penjara pada 17 Mei lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.