Dalam nota kajiannya hari ini firma penganalisis ekonomi itu berkata, kajian semula terhadap projek-projek infrastruktur mega dan pembatalan projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan MRT3 akan mempu­nyai kesan yang signifikan terhadap keyakinan perniagaan keseluruhan dan juga aliran pelaburan masuk.

“Kami meramalkan keyakinan perniagaan akan kembali kukuh pada suku ketiga 2018 apabila Bajet 2019 dibentangkan pada 18 Oktober dan diikuti dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11: Arah Baharu 2018-2020 menjelang akhir tahun.

“Seperti yang disebut oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, hala tuju ekonomi baharu akan memberi tumpuan kepada pasaran bebas dan mesra pelabur serta memastikan ekonomi kemanusiaan (humanitarian economy),” kata­nya di sini hari ini.

MIDF Research berkata, pres­tasi perniagaan keseluruhan dijangka terus berada dalam kadar sederhana memandangkan keyakinan perniagaan berada pada paras 7.8 peratus, paling perlahan dalam tempoh tiga suku berturut-turut.

Menurut Kaji Selidik Kecen­de­rungan Perniagaan, situasi tersebut adalah disebabkan faktor Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang disifatkan sebagai paling kontroversi.

Ketidaktentuan politik itu diburukkan lagi dengan isu-isu kos sara hidup yang semakin meningkat dan skandal rasuah yang membabitkan pemimpin politik.

“Mengikut sektor, keyakinan perniagaan dalam sektor pembinaan jatuh menjunam ke paras negatif 24.8 peratus pasca PRU-14. Sektor pembinaan sangat berhubung kait dengan keada­an politik kerana ia melibatkan pelaburan kerajaan yang besar di dalam projek infrastruktur mega.

“Kita boleh menjangkakan sektor ini kekal lembap susulan peng­umuman kerajaan yang membatalkan projek HSR dan MRT3,” katanya.

Dalam pada itu MIDF Research berkata, keyakinan perniagaan dalam sektor pembuatan menca­tat rekod tertinggi pada suku ke­dua 2018 pada kadar 19.7 peratus.

Ujarnya, di sebalik faktor perang perdagangan global, permintaan global yang mantap dan harga komoditi yang semakin meningkat menambah sokongan bagi sektor ini untuk terus mencatatkan peningkatan.

“Di samping itu, peningkatan dalam aktiviti eksport semula mungkin meningkatkan prestasi perdagangan luar dan pembuatan di Malaysia,” ujarnya.