Kerajaan Hormati Institusi Raja, Tak Ikut Kata DAP – Anwar

 

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara ketika ini menghormati institusi raja dan tidak mengikut telunjuk DAP seperti yang didakwa segelintir pihak.

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu turut dimaklumkan dalam beberapa pertemuannya dengan Raja Melayu dan kerabat diraja.

“Saya menjelaskan dakwaan Kerajaan PH tidak menghormati institusi raja itu hanyalah satu tuduhan liar.

“PH bukannya didalangi oleh DAP seperti yang didakwa dalam naratif Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu,” katanya seperti dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

Pada kempen PRU-14, UMNO menggunakan DAP untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu daripada memilih PH dengan dakwaan pakatan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebenarnya ditunggang oleh Lim Kit Siang dan pemimpin DAP yang lain.

“Saya menjelaskan dasar kerajaan kepada baginda… jangan bimbang kerajaan ini bukan di bawah telunjuk DAP atau berusaha menghakis kuasa raja-raja.

“Kedudukan raja berperlembagaan tidak akan kurang kuasanya, itu yang saya jelaskan,” katanya pada satu majlis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kajang, kelmarin.

Sejak keluar penjara dengan pengampunan penuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Anwar setakat ini mengadap empat raja-raja Melayu dan kerabat diraja iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Johor.

Kunjungannya itu mencetuskan khabar angin kononnya beliau membelakangkan Dr Mahathir dan sengaja mendekati istana yang diketahui ada hubungan pasang surut dengan perdana menteri.

“Saya hendak tegaskan, tidak ada perbincangan sebegitu (untuk menggugat kedudukan Dr Mahathir) dengan raja-raja,” katanya.

Anwar berkata, kunjungan beliau mengadap raja-raja Melayu dan kerabat diraja itu adalah atas jemputan istana dan tidak harus disalah tafsir, malah difitnah sebagai langkah politik untuk menggugat Dr Mahathir.

Katanya, sebagai anak Melayu dan anak Malaysia, yang faham mengenai kedudukan kerajaan raja berperlembagaan, beliau harus memenuhi jemputan itu, terutama selepas dibebaskan dari penjara dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar berkata, pertemuan pertama beliau adalah dengan Yang di-Pertuan Agong, 10 minit sebelum mesyuarat Majlis Pengampunan bermula pada 16 Mei lalu.

Selepas bebas, Anwar berkata, beliau menerima perintah mengadap daripada Sultan Johor.

Dalam pertemuan selama dua jam yang turut disertai anaknya, Nurul Izzah, Anwar berkata, mereka berbincang pelbagai perkara, yang banyak membantu PH sendiri.

“Pertama, isu kedudukan raja berperlembagaan. Adakah ia hendak dihakis? Saya tegaskan semua parti dalam PH sepakat mempertahankan kedudukan raja berperlembagaan.

“Kedua, baginda tanya, kenapa saya sokong Dr Mahathir? Saya kata dia berjasa, dia ada sumbangannya dan saya masa itu dalam penjara dan tidak bertanding.

“Perubahan pula harus aman. Kita mesti yakinkan rakyat bahawa kita bersatu dalam muafakat ini dan membolehkan Dr Mahathir dan Kabinet membuat keputusan yang berani dan tegas.

“Umpamanya, menyiasat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukannya mudah. Dananya besar, pengaruhnya masih ada dalam kalangan pegawai kerajaan dan pegawai keselamatan,” katanya.

Selepas Sultan Johor, Anwar berkata, beliau mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

“Pertemuan dengan Sultan Selangor sangat baik dan menggembirakan saya. Saya tegaskan kepada baginda, kita akan pastikan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu kekal dan saya akan bantu hal ini dalam pentadbiran Dr Mahathir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.