Gesa Hapus Uber, Grab

 

GEORGETOWN – Persatuan Gabungan Teksi dan Warga Pemandu Teksi Pulau Pinang (Gabungan) mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan perkhidmatan e-hailing seperti yang digunakan oleh Uber dan Grab.

Yang Dipertuanya, Abdul Malik Darus berkata, ini kerana perkara berkenaan secara tidak langsung turut menjejaskan sumber pendapatan pemandu -pemandu teksi yang berdaftar.

“Sekarang ini kerajaan negeri dan persekutuan sudah sehaluan, jadi saya ingin mencadangkan supaya perkhidmatan e-hailing ini dibincangkan semula.

“Kalau boleh, kerajaan mansuhkan terus e-hailing ini dan beri peranan itu kepada pemandu teksi sedia ada,” katanya.

Abdul Malik berkata demikian semasa ucapan pada majlis pemberian insentif perkhidmatan pemandu teksi dan bas sekolah Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di sini, siang tadi.

Menurutnya, beliau bimbang sekiranya perkhidmatan tersebut disalahgunakan pihak tertentu sehingga berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Ini periuk nasi kami. Saya sangat berharap pihak kerajaan dapat mengkaji semula perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, hasrat itu secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi imej pemandu teksi dalam kalangan orang awam dan pelancong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.