Fathin terkilan lutut cedera

KUALA LUMPUR: Kecederaan lutut kiri dialami Fathin Faqihah Mohd Yusuf mungkin menyebabkan dia tidak dapat menyertai sebarang kejohanan dalam atau luar negara musim ini.

Ia amat mengecewakan atlet itu apatah lagi perkara tidak diingini itu adalah kecederaan pertama dialaminya dan paling teruk sejak mula bergiat dalam sukan olahraga 10 tahun lalu.

Kesedihan turut dirasai Fathin yang sudah mampu mencatat masa larian lingkungan 55 saat dalam acara 400 meter selepas berusaha sejak empat tahun lalu.

“Sudah dua bulan saya cedera dan ia terjadi ketika saya menjalani latihan di Kota Kinabalu. Mungkin tahun ini saya tidak dapat berlari kerana saya tidak mampu melakukannya.

“Saya kecewa dengan kecederaan ini kerana saya sudah dapat berlari dengan catatan 55s tahun lalu. Prestasi saya akan merosot selepas ini kerana mustahil mendapatkan kembali catatan masa dalam tempoh yang singkat,” kata Fathin, 22, hari ini.

Begitupun penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menjelaskan dia tidak akan berputus asa malah akan berusaha supaya dapat mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN di Naypyidaw, Myanmar, Disember ini.

Rekod terbaik peribadi milik Fathin dalam acara 400m adalah 55.89s yang dicipta pada Terbuka Filipina, tahun lalu.

Selain acara 400m, atlet itu turut beraksi dalam acara 200m dan 4x400m.

Antara kejayaan diraih Fathin tahun ini adalah memenangi pingat emas acara 200m wanita pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dengan catatan masa 25.76s.

Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Fathin antara watak penting yang membantu kuartet 4x400m wanita negara memenangi pingat gangsa dengan catatan masa 3:43.31s.

Atlet itu juga pemenang pingat emas acara 400m wanita temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada 2016.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.