Ketua Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd. Noor berkata, dua tekong dan tujuh awak-awak warga tempatan turut ditahan di atas kedua-dua bot tunda pada kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

“Ketika ditahan mereka sedang leka menunda dan tidak menyedari tindakan mereka diperhatikan penguat kuasa. Kedua-dua bot ditahan di lokasi berhampiran antara satu sama lain.

“Kita turut mengambil keterangan tekong dan awak-awak berusia 26 hingga 61 tahun itu bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Kamal, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot nelayan tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari pantai.

“Bot-bot tunda berkenaan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah untuk tindakan lanjut” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Kamal turut menasihati semua pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985.

“Diharapkan orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan melaporkan segera sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya. -UTUSAN ONLINE