Cubaan cetus kekacauan pada PRU-14 gagal

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas polis dapat menggagalkan rancangan seorang suri rumah yang mahu merempuh pengundi bukan Islam menggunakan kereta pada hari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Wanita berusia 51 tahun itu dapat ditahan pada hari berkenaan sebelum sempat ‘melancarkan’ serangan itu. Malah, wanita terbabit turut merancang merempuh rumah ibadat bukan Islam menggunakan kereta dimuatkan tong gas sebagai bahan letupan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata selain itu, pihaknya turut menahan seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun di Petaling Jaya, Selangor, selepas didapati menghasilkan enam molotov cocktail dengan menguji satu daripadanya di kawasan lapang di sekitar Damansara Damai, Petaling Jaya.

“Suspek merancang menggunakan bahan letupan itu untuk melancarkan serangan terhadap gereja, pusat hiburan dan kuil hindu di sekitar Kuala Lumpur.

“Dia sudah membuat ‘recce’ (tinjauan) dan merakam lokasi sasaran selain merakam video amaran untuk melancarkan serangan dan memuat naiknya dalam tiga kumpulan perbualan WhatsApp serta satu kumpulan perbualan Telegram sebelum ditahan satu jam kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya turut menahan tujuh suspek di Sabah membabitkan seorang warga tempatan, dua warga Filipina memiliki taraf penduduk tetap serta empat warga Filipina berusia antara 22 hingga 49 tahun yang ditahan pada 24 dan 26 April lalu kerana merancang untuk mengumpul senjata api di negeri terbabit bagi tujuan berjihad di Marawi City, Filipina.

“Selain itu, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 41 tahun yang juga pemilik restoran di Bukit Bintang, selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan senjata api bagi kegunaan anggota pengganas antarabangsa dan tersenarai di bawah ‘red notice’ Interpol pada 21 April lalu di Kuala Lumpur.

“Dua daripada empat individu dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam rancangan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan merancang membunuh anggota polis turut ditahan dalam operasi itu.

“Suspek, Nor Farkhan Mohd Isa yang dalam perancangan akhir melarikan diri ke negara jiran ditahan pada 20 April lalu di Johor Bahru, Johor, manakala seorang lagi suspek, Muhamad Faizal Muhamad Hanafi pula ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, Kelantan, tiga hari kemudian. Dua lagi suspek masih bebas,” katanya.

Beliau berkata, suami isteri warga Afrika Utara masing-masing berusia 22 dan 25 tahun yang disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara berkenaan turut ditahan kerana disyaki menjadi anggota kumpulan pengganas Daesh pada 2 April lalu di Gombak, Selangor.

“Mereka menyusup masuk ke negara ini pada 16 Mac lalu untuk transit sebelum berlepas ke negara ketiga. Kedua-dua suspek diusir pulang ke negara asal pada 14 April lalu.

“Dalam tangkapan berasingan, 27 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), seorang lelaki tempatan yang berlepas ke Turki pada 31 Januari lalu ditahan pihak berkuasa negara terbabit kerana disyaki cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan atas kesalahan di bawah Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Mereka juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala tiga suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Keseluruhannya, 15 suspek berusia 15 hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah antara 27 Mac hingga 9 Mei lalu itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.